fbpx

Hidap sindrom Marfan, remaja tinggi luar biasa

Remaja dengan ketinggian luar biasa bergambar dengan ibu dan ayah (Sumber Berita Harian Online)

TELUK BAHANG: “Sudah beberapa tahun kami tidak menggunakan kipas siling di rumah kerana ketinggian anak sudah menyamai paras kipas itu. Dengan ketinggian mencecah 198 sentimeter (cm), anak memang sering menjadi tumpuan dalam khalayak ramai.”

Begitu dikongsikan Junaidah Jamil, 44, ibu kepada Muhamad Haziq Khairul Annuar, 16, remaja yang mempunyai ketinggian luar biasa.

Junaidah memaklumkan ketika Muhamad Haziq berusia lima tahun, anak tunggalnya itu sudahpun mempunyai ketinggian seperti remaja belasan tahun.

Namun ketika itu, katanya, beliau dan suami, Khairul Annuar Mohamad Saberi, 52, tidak mengesyaki Muhamad Haziq menghidap Sindrom Marfan yang merupakan sejenis ‘penyakit jarang jumpa.’

“Ketika menjalani pemeriksaan kesihatan, tahun lalu, doktor mengesahkan ketinggian Muhamad Haziq ialah 198cm dan boleh menjadi lebih tinggi lagi sebelum mencapai usia 21 tahun.

“Walaupun mempunyai kelebihan, Muhamad Haziq berdepan kesukaran terutama ketika menaiki kenderaan seperti bas, kereta dan motosikal, malah seluar dan kasutnya juga perlu ditempah khas.

“Suami kerap mengukur ketinggian Muhamad Haziq dengan meminta anak berdiri di tepi pintu sebelum menanda parasnya dengan menggunakan pen,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Hassan Abbas, di sini.

Kisah ketinggian luar biasa Muhamad Haziq menjadi tular apabila dikongsikan dalam hantaran Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, melalui laman Facebook, baru-baru ini.

Menurut hantaran berkenaan, Wan Saiful yang berkunjung ke Bazar Ramadan Teluk Bahang, teruja bertemu dengan remaja yang mempunyai ketinggian mencecah hampir 200cm itu.

Junaidah berkata, beliau tidak tahu Muhamad Haziq bergambar dengan wakil rakyat itu dan kisahnya tular sehingga diberitahu oleh kenalan beliau.

Suri rumah itu berkata, selain Sindrom Marfan, anaknya juga mempunyai penyakit berkaitan jantung sejak berusia lima tahun tetapi tidak serius.

“Bagaimanapun, penyakit itu membuatkan Muhamad Haziq cepat keletihan dan tidak dapat aktif dalam sukan di sekolah walaupun meminati aktiviti lompat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Haziq berkata, beliau turut digelar ‘galah panjang’ dalam kalangan rakan sekolah.

“Seperti biasa, individu yang tinggi akan diberi ‘tugas khas’ seperti membersihkan bahagian yang tinggi di dalam kelas,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles