SEREMBAN – Jualan Khas Syawal Madani merekodkan nilai jualan RM14 juta iaitu melepasi sasaran ditetapkan keseluruhan sebanyak RM13 juta dalam tempoh enam hari, sejak ia dilancarkan pada Sabtu lepas.
Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Abdul Rashid Bahri berkata, sasaran itu telah dicapai dua hari lepas membabitkan 2,680 usahawan di 113 lokasi pemasaran Fama seluruh negara.
“Nilai itu juga meningkat kira-kira 20 peratus berbanding tahun lepas dan hari ini, hari terakhir program ini, kita tiada masalah dari segi bekalan sama ada daging, ayam dan sayur-sayuran memang mencukupi untuk keperluan orang ramai menjelang Aidilfitri.
“Kita juga mendapat kerjasama baik dengan kerajaan negeri di seluruh negara, jadi orang ramai boleh mendapatkan barangan basah dengan harga yang lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai Program Jualan Khas Mantai Syawal Madani dan Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin 2023 di Pasar Tani Kekal Paroi di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi.
Mengulas mengenai jualan itu di Negeri Sembilan, Abdul Rashid berkata, melalui program berkenaan seramai 500 usahawan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang pasaran di lapan lokasi seluruh daerah dengan nilai jualan sebanyak RM417,000 berjaya diperoleh, setakat hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Jualan Syawal Madani dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sempena Aidilfitri bertujuan membantu rakyat mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding harga di pasar biasa. (Sumber Sinar Harian Online)