fbpx

Masih perlu berjaga-jaga meski COVID-19 tidak lagi kecemasan global

Pemakaian pelitup muka perlu jika berada di tempat sesak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat lalu membuat keputusan untuk tidak lagi mengklasifikasikan jangkitan COVID-19 sebagai kecemasan global. Perisytiharan ini satu berita baik menamatkan potensi kebimbangan berkaitan jangkitan COVID-19.

Pola jangkitan dan kematian akibat pandemik itu terus menunjukkan penurunan serta angka jangkitan keseluruhannya di seluruh dunia dalam lingkungan 3,000 kes. Cerapan semasa turut mendapati, tidak ada sebarang ancaman ledakan kes teruk serta berpotensi menggugat sistem perkhidmatan kesihatan.

Dengan pengisytiharan berkenaan, boleh dirumuskan fasa peralihan ke endemik seperti ditetapkan kerajaan sebelum ini boleh dianggap sudah berakhir dan pada masa ini kita berada dalam fasa endemik. Sehubungan itu, semua peraturan berkaitan dengan pencegahan dan kawalan jangkitan ketika fasa pandemik kini perlu dipertimbangkan dan diperhalusi untuk diguna pakai dalam fasa endemik.

Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pasti mempunyai pelan tindakan akan diguna pakai dalam konteks kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19, sama seperti penyakit berjangkit lain. Kemas kini pelan pencegahan itu dijangka dimaklumkan kepada masyarakat umum dalam tempoh terdekat.

Sejak 1 April 2022, rakyat menikmati pelbagai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang mana suasana rutin seharian individu dan perjalanan aktiviti dalam masyarakat berlangsung dalam keadaan hampir sama seperti era pra pandemik.

Kita juga menyaksikan sepanjang tempoh lebih setahun ini, negara tidak berdepan dengan sebarang situasi pernah dihadapi ketika kes COVID-19 memuncak pada 2021. Meskipun pada waktu tertentu, ada sedikit peningkatan kes dilaporkan serta dimasukkan ke hospital, namun secara keseluruhan, majoriti kes berkenaan adalah jangkitan ringan dan pulih tanpa sebarang masalah.

 Kelonggaran dilaksanakan juga termasuk saringan suhu individu ke premis pekerjaan, termasuk pesakit mendapatkan rawatan di klinik pesakit luar. Aplikasi MySejahtera pula diperluas untuk penyakit lain serta perkhidmatan kesihatan lain.

Dari segi kesihatan awam, dengan perisytiharan WHO itu, maka jangkitan COVID-19 bukan lagi ancaman terhadap sistem perkhidmatan kesihatan. Ia wajar ditangani sama seperti penyakit berjangkit lain serta disiasat dan dikawal menggunakan langkah disyorkan serta menurut garis panduan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

 Kaji semula pemakaian pelitup muka 

Ini bermakna, peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di organisasi tertentu perlu dikaji semula, kecuali untuk mereka bergejala. Justeru, majoriti individu sihat perlu diberikan pilihan untuk memakai pelitup muka atau tidak.

Demikian juga dengan peraturan sebahagian hospital mewajibkan ujian RT PCR (Ag) untuk pesakit dimasukkan ke wad. Mereka perlu diberi pilihan untuk melakukan atau tidak ujian saringan kecuali bagi individu jelas mempunyai gejala.

Justifikasi untuk kekal melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara rutin untuk pesakit di hospital perlu diberikan kerana jelas peraturan itu tidak tepat kerana saringan pada masa ini hanya dilaksanakan dalam kalangan pesakit sahaja sedangkan kakitangan hospital tidak disaring setiap hari untuk memeriksa jangkitan COVID-19.

Apa yang penting, perisytiharan WHO ini wajar dimanfaatkan semua pihak, terutama kerajaan dan KKM bagi mengekang perbelanjaan tidak perlu seperti pembelian pelitup muka atau ujian saringan yang diketahui agak mahal.

Namun, dalam konteks pengambilan vaksin, sama seperti vaksin penyakit berjangkit lain, sudah sampai masa ada kos harus dibayar rakyat dan tidak lagi boleh diberikan secara percuma seperti pada era pandemik dahulu.

Bagi individu dan rakyat, rutin kehidupan sedia ada boleh diteruskan seperti biasa, pada masa sama, mereka perlu kekal mengambil berat kesihatan individu berisiko di bawah jagaan untuk mengelakkan jangkitan teruk serta sentiasa mengamalkan cara hidup sihat. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles