PETALING JAYA: Inflasi 2022 meningkat kepada 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2021 dengan mata indeks mencatatkan 127.2 berbanding 123.1 pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ini terutamanya didorong oleh makanan dan minuman pada 5.8 peratus, restoran dan hotel (5.0 peratus), pengangkutan (4.7peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi 2022 juga seiring dengan kenaikan harga majoriti komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS$) berbanding mata wang utama dan ketegangan geopolitik antara Russia dan Ukraine.
“Kenaikan ketara direkodkan oleh semua subkumpulan makanan dan minuman dan mencatatkan kenaikan antara 2.9 peratus hingga 8.6 peratus.
“Selain itu, kejadian seperti banjir dan tanah runtuh juga telah menyebabkan gangguan dalam bekalan produk pertanian, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, dalam usaha pemulihan ekonomi yang dilanda pandemik Covid-19, kerajaan telah membuka semula sektor pelancongan pada April 2022 kepada pelancong antarabangsa dari negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.
Ujarnya, ini telah memberi kesan kepada inflasi restoran dan hotel yang mencatatkan peningkatan 5.0 peratus pada 2022 berbanding 0.4 peratus yang dicatatkan pada 2021.
“Sepanjang tahun lalu, inflasi tertinggi dicatatkan pada Ogos 2022 iaitu 4.7 peratus.
“Ini disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada 2021 berikutan diskaun bil elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) dari Julai hingga September 2021,” ujarnya.
Mohd. Uzir berkata, bagi menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital pada penghujung Jun 2022.
“Salah satu daripada langkah intervensi yang diperkenalkan adalah penetapan harga siling minyak masak dalam botol dua kilogram (kg), tiga kg dan lima kg secara bulanan bermula 8 Ogos 2022.
“Harga siling ini adalah berdasarkan harga bulanan bagi satu tan metrik Minyak Sawit Mentah (CPO) yang diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Selain itu, inflasi pada 2022 turut disumbangkan oleh perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.8 peratus),” ujarnya.
Walaupun terdapat peningkatan dalam majoriti item dalam bakul IHP, beliau menegaskan, terdapat 17.0 peratus item yang mencatatkan penurunan dan kekal tidak berubah dan secara tidak langsung meredakan inflasi.
“Antara barangan yang menunjukkan penurunan harga adalah halia (-15.7 peratus), rambutan (-3.9 peratus) dan tali pinggang (-3.6 peratus), manakala tambang Light Rapid Transit (LRT),
caj pembetungan dan majalah kekal tidak berubah,” katanya. – (Sumber Utusan Malaysia Online)