KUALA LUMPUR: Penyanyi, Anuar Zain mengidamkan sebuah konsert solo diiringi pemain muzik orkestra kerana ia memberikan impak berbeza ketika menjayakan persembahan.
Penyanyi lagu Sedetik Lebih ini berkata, sudah menjadi impian buat ramai penyanyi mengadakan sebuah konsert berskala besar melibatkan puluhan pemain instrumen dan sepasukan orkestra.
“Hampir setiap penyanyi menginginkan sebuah konsert dengan penglibatan 70 hingga 80 pemain muzik dalam kumpulan orkestra.
“Apabila ada ramai pemuzik yang mengiringi persembahan penyanyi, ia akan mencetuskan perasaan berbeza pada audiens,” katanya.
Anuar berkata, setiap pemain instrumen akan mengeluarkan ‘aura’ mereka tersendiri sekali gus menyalurkan energi kepada penyanyi di atas pentas.
“Kalau ada 100 pemuzik bermakna anda (penyanyi) akan menerima 100 ‘vibes’ dan energi tersebut akan disalurkan kepada penonton.
“Sebab itu, kita selalu rasa meremang bulu roma apabila menyaksikan sesebuah konsert. Konsep persembahan seperti ini yang selalu saya impikan,” jelasnya.
Anuar berkata demikian selepas dijemput sebagai penyanyi undangan semasa konsert amal Flourishes 2023: Seri Puteri Symphonic Winds Royal Concert di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.
Semasa konsert tersebut, Anuar mempersembahkan tiga lagu sambil diiringi 82 pemain orkestra yang terdiri daripada pelajar tingkatan dua hingga lima pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP).
Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) bertujuan mengumpul dana untuk meneruskan legasi kecemerlangan pasukan itu ke pertandingan International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September nanti.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SSP, Datuk Wan Jamaludin Wan Malek berkata, dana yang perlu dikumpulkan ialah RM900,000.
Jelasnya, setakat ini pihaknya berjaya mengumpulkan RM300,000 hasil jualan tiket dan masih memerlukan dana sebanyak RM600,000 lagi.
“Kita akan membawa seramai 70 pelajar dan 10 guru SSP ke Barcelona kerana harga tiket pada September nanti juga agak mahal,” katanya.
SPWinds ialah sebuah pasukan wind orkestra yang ditubuhkan pada 1976 di SSP, Cyberjaya. – (Sumber Utusan Malaysia Online)