KEMUNCULAN ramai penyanyi baru tidak menjejaskan nama dan populariti Siti Nordiana.
Bukan saja undangan persembahan tidak pernah putus, Siti Nordiana yang juga dikenali sebagai pelakon antara nama yang terus bertahan dalam bidang seni sejak lebih dua dekad lalu.
Sebagai penyanyi, Siti Nordiana Alias atau lebih mesra disapa Nana, 38, juga ada impian untuk mengadakan konsert skala besar sekali gus meraikan ulang tahun ke-23 pembabitannya dalam industri muzik tanah air.
“Saya merancang untuk buat konsert skala besar atau sekurang-kurangnya ‘showcase’ tahun depan khusus buat peminat yang setia menyokong dari dulu.
“Semuanya masih dalam proses dan perancangan lagi kerana ia membabitkan aspek penajaan, lokasi dan sebagainya. Saya juga mahu semua peminat datang dan harga tiketnya pula berpatutan,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan karier nyanyiannya pula, kata Siti Nordiana, dia akan muncul dengan dua single baru tahun ini.
“Single baru berjudul Arah Cinta ciptaan Ikhwan Fatanna dan akan dikeluarkan Jun ini. Ia sudah siap dan dalam proses untuk buat video klip. Lagu genre pop balada ini istimewa kerana ia menguji kemampuan vokal saya dan diterbitkan sendiri,” katanya yang kali terakhir muncul dengan single berjudul Angkara pada 2021.
Ditanya mengenai single duet terbarunya pula, kata Siti Nordiana, dia mahu merahsiakan terlebih dulu nama penyanyi yang akan berduet dengannya.
“Saya pernah berduet Khai Bahar tapi kali ini, saya pilih artis yang seangkatan dan sebaya tapi mahu peminat untuk menekanya nanti.
“Pada masa sama, saya juga tidak mengambil tawaran lakonan kerana mahu fokus pada pembikinan dan promosi dua single baru pada tahun ini,” katanya.
Mengenai pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke -35 pula, kata Siti Nordiana, dia bersyukur kerana namanya tersenarai dalam pencalonan awal menerusi dua kategori iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Artis Koloborasi/ Duo/ Berkumpulan Popular dengan penyanyi Bunga (lagu Amaran).
“Saya bersyukur kerana tercalon dalam dua kategori terbabit dan melihat persaingan dengan calon lain secara sihat.
“Soal mara ke Top 5, kalah atau menang, saya serahkan sepenuhnya kepada undian peminat dan kelab peminat,” katanya.
Tidak mencari jodoh
Siti Nordiana mengakui dirinya sudah lali setiap kali digosipkan dengan artis yang digandingkan dengannya.
“Bukan saja dengan rakan artis seperti Khai Bahar, saya juga turut digosipkan dengan pengurus sendiri, Anas. Mana saja pelakon yang dekat akan digosipkan dengan saya. Macamlah saya ni lawa sangat dan muda lagi,” katanya.
Hakikatnya, kata Siti Nordiana, dia masih solo dan belum memiliki teman istimewa lagi.
“Saya masih solo dan tidak pula mencari jodoh. Namun, jika sudah bertemu calon sesuai atau sudah bersedia untuk berkahwin, saya tidak akan merahsiakannya dari peminat kerana usia pun makin meningkat,” kata ibu tunggal kepada anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie, 15, ini. (Sumber Harian Metro Online)