fbpx

Media perlu diberi akses lebih luas dalam menjalankan tugas

SHAH ALAM – Kerajaan perlu membuka akses kebebasan media dengan lebih luas menerusi langkah mengkaji semula peruntukan undang-undang berkaitan yang sudah tidak relevan pada masa kini.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, komitmen dan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan media di negara ini bebas sepenuhnya amat dialu-alukan.

Namun menurutnya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan perlu menyediakan ekosistem yang sewajarnya.

“Salah satu daripada pra syaratnya adalah untuk memastikan mana-mana undang-undang dan peruntukan yang dianggap tidak sesuai, tidak relevan dan lama perlu dikaji semula atau mungkin dimansuhkan.

“Contohnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, bagi saya itu sangat penting dikaji semula dan kemudian dihapuskan kerana tidak lagi relevan.

“Begitu juga beberapa peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 perlu dikaji semula sama ada ia akan mengekang kebebasan media di negara ini.

“Itu adalah pra syarat yang pertama perlu dilakukan untuk memastikan media dapat bekerja bekerja bebas tanpa kekangan daripada pemerintah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023, Anwar menegaskan bahawa media di negara ini bebas sepenuhnya dan tidak harus melakukan penapisan kendiri dalam mengkritik kerajaan.

Komitmen PM dalam memastikan media negara ini bebas sepenuhnya amat dialukan – Tan Sri Johan Jaffar

Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak mahu pengamal media di negara ini meneruskan amalan pada masa lalu apabila kerajaan disanjung dan dipuji, manakala pembangkang dinafikan hak bersuara.

Mengulas lanjut, Johan menambah, meskipun tahap kebebasan media di negara ini semakin baik berbanding negara-negara lain, ia tidak memberi petanda bahawa ia telah mencapai tahap membanggakan.

“Yang penting pada pandangan saya, pihak kerajaan, begitu juga menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, mereka harus faham tugas media. Media bukan bahan propaganda kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan penubuhan Tabung Kasih@Hawana yang diumumkan Anwar dengan dana permulaan RM1 juta merupakan inisiatif terpuji dan bermakna bagi pengamal media yang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, pengamal media perlu mengambil peluang dan berani menjadi jagawan kepada tiga cabang kuasa negara lain iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Pengamal media perlu berani menjadi jagawan kepada tiga cabang kuasa negara – Datuk Dr Chamil Wariya

Beliau juga senada mahu kerajaan bersungguh-sungguh menjadikan kebebasan media sepenuhnya sebagai satu realiti dengan kaedah mewujudkan kerangka perundangan baharu untuk memudahkan pengaliran maklumat tentang hal-hal dasar yang berkaitan dengan kepentingan awam.

“Ini bermakna kerajaan kena melihat semula Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang menyulitkan maklumat diperoleh daripada kerajaan.

“Akta Kebebasan Maklumat perlu menggantikan akta rahsia rasmi. Supaya ada peruntukan dalam undang-undang yang membolehkan wartawan mendapat maklumat mengenai keputusan atau dasar kerajaan berdasarkan isu-isu kepentingan awam,” katanya.

Pihak GKMM menyambut baik jaminan Anwar pengamal media diberi kebebasan dalam menjalankan tugas – Mohamad Fauzi Ishak

Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mohamad Fauzi Ishak pula berkata, pihaknya menyambut baik jaminan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar untuk memastikan pengamal media di negara ini diberi kebebasan dalam menjalankan tugas.

“GKMM maklum cabaran tugasan pengamal media pada era digital kini memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk agensi kerajaan,” katanya. (Sumber Sinar Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles