Sabak Bernam: “Saya tidak pernah kira berapa banyak wang yang habis kerana niat utama adalah untuk membantu kucing terbiar ini,” kata Mohamed Iqbal Khalid, 50.
Usahawan yang memiliki hotel dan premis niaga di sini, menjaga dan merawat sekurang-kurangnya 60 kucing terbiar sejak April tahun lalu, selepas ia berkeliaran di kawasan perniagaannya.
“Waktu siang, kucing-kucing ini makan di medan selera di sebelah hotel dan tidur di bawah kabin premis saya pada sebelah malam.
“Bagi mengelak najis bertaburan di kawasan sekitar dan mengganggu pelanggan hotel, saya mewujudkan pusat perlindungan kucing terbiar berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mohamed Iqbal berkata, untuk permulaan dia menyelamatkan 35 kucing dan menghantar ke pusat rawatan haiwan, namun jumlah itu semakin bertambah.
“Ada kucing saya letak di belakang hotel, manakala yang melahirkan anak pula diletakkan dalam satu bilik khas di dalam hotel buat sementara waktu,” katanya.
Menurutnya, dia kini sedang mencari dana untuk membina sangkar tambahan dengan kos antara RM7,000 hingga RM8,000, malah bersyukur apabila ada individu bermurah hati menyumbang makanan, pasir dan ubat-ubatan untuk kucing terbiar itu.
“Untuk makanan, haiwan berkenaan memerlukan kira-kira 10 kilogram ‘kibbles’ yang bertahan sekitar tiga ke lima hari, selain saya beri juga makanan lain seperti ayam rebus sekurang-kurangnya sekali seminggu.
“Bagi kebersihan pula, saya upah seorang individu untuk membasuh sangkar kucing setiap hari bertujuan mengelakkan haiwan ini terkena penyakit,” katanya.
Bagaimanapun, dia kesal apabila ada segelintir pemilik kucing yang tidak bertanggungjawab dengan menghantar haiwan peliharaan mereka ke tempatnya.
“Asal kewujudan pusat jagaan ini bertujuan menjaga kucing yang berkeliaran di hotel dan kawasan sekitar.
“Kalau kamu ada kucing, cuba cari orang yang boleh ‘adopt‘, bukan buang tepi jalan. Sini khusus untuk kucing terbiar sahaja,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)