Hafidz, Shuhada dah cerai talak satu

SHAH ALAM: Pelakon Hafidz Roshdi, 29, dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Hafidz atau nama sebenarnya, Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi yang ditemui selepas prosiding sebutan pengesahan lafaz cerai di mahkamah, di sini, bersyukur perceraiannya berakhir dengan baik.

“Saya bersyukur kes kami selesai dengan baik dan bercerai talak satu. Saya nak ucapkan terima kasih semua yang menghormati privasi dan kerjaya saya.

“Alhamdulillah, saya lega perkara ini dapat diselesaikan cara baik dan tiada pergaduhan. Saya juga menghormati keputusan hakim dan berpuas hati dengan keputusan hari ini,” katanya kepada BH Online.

Peguam syarie mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, mahkamah sudah memutuskan hanya satu lafaz cerai yang sah iaitu pada 22 Februari tahun ini.

“Dakwaan sebelah pihak lagi yang mendakwa lafaz cerai menerusi aplikasi WhatsApp pada 20 Januari lalu tidak diterima oleh mahkamah. Maka, perceraian adalah talak satu bertarikh 22 Februari lalu,” katanya.

Sementara itu, Nurul Shuhada yang berbusana putih turut meluahkan perasaan yang sama.

Hafidz dan Nurul Syuhada melahirkan rasa kesyukuran kes perceraian berjalan dengan lancar

Katanya, dia lega seolah-olah beban yang dipikul selama ini sudah diangkat.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya. Saya merasakan seperti Allah sudah angkat satu beban. Terima kasih Allah.

“Saya perlu kuat semangat sebab kini tak bergantung pada orang lain dan hanya bergantung pada Allah sahaja.

“Sekarang, saya mahu fokus diri sendiri, anak-anak dan capai cita-cita kerana insya-Allah, saya mahu sambung belajar,” katanya yang tamat edah pada Aidilfitri kedua lalu.

Terdahulu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Sebelum itu, adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Seterusnya, pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Pelakon itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.

Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, memaklumkan pihak pendakwaan Hafidz disahkan waras dan pertuduhan atasnya layak dibicarakan. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles