PORT DICKSON: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini minggu depan.
Memaklumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan kehadiran kedua pemimpin itu ke Malaysia dalam tempoh lapan bulan Kerajaan Perpaduan dibentuk.
Tambah Anwar, lawatan tersebut antara lain adalah bertujuan bagi menandatangani beberapa perjanjian termasuk perjanjian pelaburan ke Malaysia.
“Dalam masa lapan bulan saya jadi Perdana Menteri, sudah dua kali Sultan Brunei datang ke Malaysia, kita buat kerja kita, pelaburan itu penting, tak ada pelaburan kita tidak ada fulus (wang),” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian sewaktu berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Yang hadir sama,Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. itu Anwar sekali lagi menegaskan, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak pernah mengetepikan hak Melayu dan Islam di negara ini seperti sering didakwa pembangkang.
“Saya nak sebut lapan bulan kita di Putrajaya, di mana kita jual, hak Melayu mana kita jual? Lapan bulan kita perintah di mana kita khianati Islam malah peruntukan tambah. Saya tanya di Parlimen mana dia (kami) khianat, mereka tidak jawab,” katanya.
Beliau dalam pada itu yakin Negeri Sembilan kekal ditadbir parti gabungan PH dan BN selepas PRN nanti mengambil kira negeri ini merupakan kubu kuat kedua-dua parti berkenaan.
“Kekuatan penting, kekuatan asas Kerajaan Perpaduan. Kerja kita adalah untuk selamatkan negeri dan negara dan Negeri Sembilan masih kubu kuat Kerajaan Perpaduan,” katanya. – (Sumber Utusan Malaysia Online)