Dengan hampir semua keadaan fizikal seperti orang normal, menyebabkan kalangan umum menganggap mereka ini tiada kekurangan langsung.
Disebabkan pandangan sedemikian, ramai masih menganggap orang pekak bukan golongan orang kurang upaya (OKU).
Senario ini bukan sahaja berlaku dari segi pekerjaan dan sebagainya yang melibatkan orang pekak, malah dalam bidang sukan pun ada berpandangan orang pekak perlu bersaing dengan atlet normal.
Tanggapan berterusan ini memperlihatkan orang pekak tidak tersenarai dalam sukan paralimpik. Atas faktor ini juga orang pekak lebih selesa berada dalam zon tersendiri.
Berikutan itu, sebagai alternatif, golongan pekak terpaksa membawa diri dengan menubuhkan persatuan sendiri bagi membela nasib mereka dan ini termasuk dalam bidang sukan, tanpa bergabung dengan persatuan OKU lain.
Kekurangan yang mereka miliki menyebabkan hanya beberapa bidang sukan sahaja diceburi sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun dunia iaitu badminton, karate, boling, olahraya, bola sepak, futsal dan bola jaring.
Dalam memperkatakan golongan pekak ini, ramai tidak sedar keadaan sebenar mereka kerana kurangnya umum menyelami golongan tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Unit Kokurikulum, Sukan dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Mohd. Azizul Mohd. Sohod ketika diwawancara memberitahu, selama ini orang normal hanya berinteraksi dengan orang pekak melalui pengunaan bahasa isyarat.
Katanya, walaupun boleh menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi, namun ia bukan bermakna umum sudah memahami jiwa dan keperluan orang pekak.
“Namun sebenarnya kita sebagai orang normal sepatutnya menyelami diri mereka itu (orang pekak). Dari situ baru kita fahami siapa orang pekak ini kerana jiwa mereka begitu merendah diri, rasa terpinggir dan banyak lagi.
“Apabila seseorang normal itu berjaya menyelami sepenuhnya jiwa orang pekak, barulah kita diterima sebagai sebahagian komuniti mereka,” katanya yang berpengalaman luas menjadi guru pendidikan khas di beberapa buah sekolah sebelum menjawat jawatan yang ada sekarang di Putrajaya.
Mohd. Azizul menjelaskan, dunia orang pekak sebenarnya terhad dari segi pengunaan kata-kata, bahasa dan ekspresi.
Ini secara langsung melibatkan terhadnya sesuatu ekspresi bagi menyatakan perasaan mereka.
“Mungkin orang normal boleh menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi, namun itu bukan bermakna kita sudah memahami mereka sepenuhnya,” katanya.
Menceritakan pengalamannya sebagai guru pendidikan khas, Mohd. Azizul menjelaskan, mungkin orang pekak nampak normal dari segi fizikal apabila melibatkan diri dalam bidang sukan.
“JIka dia berlari lurus di trek mungkin tiada masalah tetapi dalam keadaan tertentu apabila melalui selekoh atlet berkenaan tidak dapat menyeimbangkan diri kerana ia ada kaitan dengan masalah pendengaran dialami.
“Oleh itu, adakah logik apabila orang pekak disuruh bersaing dengan orang normal dalam sukan,” tanya beliau.
Mohd. Azizul menambah, dari pengalaman ketika menjadi guru pendidikan khas, untuk mendekati dan menyelami orang pekak perlu melakukan dua perkara utama.
“Memandangkan perkataan orang pekak terhad, kita perlu memperkenalkan perkataan-perkatan baharu yang mereka tidak ketahui. Ini kerana dalam dunia orang pekak, satu perkataan yang menggunakan bahasa isyarat akan membawa makna lebih daripada satu, dua atau tiga.
“Apabila memperkenalkan perkataan baharu, ia perlu disokong dengan gambar-gambar agar pemahaman orang pekak lebih mendalam serta meluas.
“Kalau kita orang normal hanya setakat berkomunikasi guna bahasa isyarat dan ejaan sahaja, ia belum mencukupi untuk membantu orang pekak meneroka kehidupan dunia ini secara meluas,” katanya.
Kepada satu soalan, Mohd. Azizul memberitahu, untuk mendapatkan pengiktirafan setaraf dengan OKU lain atau yang lebih tinggi dari keadaan sekarang, bukanlah sesuatu yang mudah.
Sebaliknya usaha itu perlu dilakukan berterusan bagi membolehkan orang normal termasuk di pihak kerajaan, badan-badan tertentu mahupun persatuan, menerima hakikat bahawa orang pekak juga perlu mendapat pembelaan serta pengiktirafan sama taraf dengan OKU lain.
“Bagi saya, melalui persatuan mereka di peringkat dunia dan antarabangsa, orang pekak perlu dibawa berbincang dengan pihak kerajaan mahupun badan atau persatuan normal.
“Di peringkat kebangsaan orang pekak mempunyai persatuan sendiri, namun ia belum mencukupi untuk menguar-uarkan keperluan mereka. Orang pekak perlu jelaskan keperluan mereka dan pengiktirafan yang diperlukan melalui persatuan yang berpaksi dari peringkat dunia.
“Selagi belum berjaya mendapat pengiktirafan diperlukan, jangan berputus asa walaupun usaha mereka perlu mengambil masa dari genarasi ke generasi,” katanya mengakhiri wawancara.