fbpx

Kejayaan Malaysia anjur Bola Sepak Pekak Dunia

Bermula dengan persiapan rapi sejak lebh setahun lalu, hinggalah kepada penutup tirai Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali ke-4 pada 7 Oktober baru-baru ini, Malaysia mampu mengukir senyuman manis kerana kejayaan menjadi tuan rumah acara berprestasij itu.

Bukan sahaja kerana kebolehan dari segi penganjuran, malah berjaya melayani setiap kehendak 19 pasukan lelaki pekak dan lima pasukan wanita pekak dari seluruh dunia yang menyertai kejohanan tersebut bermula 23 September lalu.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk melaksanakan kehendak serta kemahuan setiap atlet pasukan bola terbabit, kerana ia berbeza dengan memenuhi keperluan orang-orang normal.

Ini kerana ia melibatkan penggunaan bahasa isyarat, di samping keperluan berkomunikasi dengan pasukan yang menggunakan bahasa ibunda negara masing-masing seperti Ukraine, Senegal, Peranchis, Jepun dan banyak lagi.

Selain memastikan keperluan setiap atelt dipenuhi, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) sebagai  penganjur juga perlu bersiap sedia bagi memenuhi keperluan duta negara asing yang dihadir, penyokong dan media yang datang dari luar negara.

Lebih penting apabila penganjuran itu melibatkan penggunaan padang bola antaranya di Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Stadium Kuala Lumpur Cheras, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta beberapa padang lain.

Bermula dari pasukan bola pekak yang terawal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, diikuti ketika perlawanan dan seterusnya kepulangan setiap pasukan, semua atlet mendapat layanan VVIP.

Apa tidaknya, bas-bas membawa setiap pasukan diiring polis trafik, di padang pula anggota unit perubatan dan ambulans sentiasa dalam keadaan siap sedia manakala pihak hotel pula menyediakan pelbagai jenis menu.

Semua yang melibatkan pengurusan kejohanan itu terbukti berjalan lancar serta mengikut kehendak setiap pasukan  dan ini diakui sendiri oleh Persatuan Bolasepak Orang Peka Dunia (DIFA).

Bagaimanapun tanpa menonjolkan diri dan mungkin juga ramai tidak menyedari, kejayaan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Pekak itu sebenarnya direalisasikan sepenuhnya oleh para petugas, pasukan keselamatan, pihak stadium, sukarelawan, MSDeaf sendiri, media tempatan dan banyak lagi.

Mungkin dari pandangan masa kasar, penganjurann itu nampak mudah. Namun di sebalik kisah-kasih suka duka kejohanan itu, banyak pengorbanan yang mereka lakukan dengan tugasan 24 jam tanpa henti, berpanas, berhujan, tidak sempat makan  minum, tidak sempat  tidur dan sebagainya.

Inilah pengorbanan besar mereka yang dianggap sebagai  wira-wira di belakang tabir.

Penulis sendiri melihat beberapa sukarelawan yang bertugas mengutip bola di tepi padang, tidak sempat memakai baju  hujan, terpaksa mendiamkan diri serta duduk di trek ketika hujan lebat sebelum perlawanan bola dihentikan.

Begitu juga unit polis  trafik yang mengiringi bas-bas pemain bola ketika hujan lebat. Banyak kisah menarik dan pengorbanan yang dilakukan oleh petugas dan sukarelawan terbabit. Juga tidak lupa pasukan perubatan dan ambulans yang terpaksa mengejarkan petugas yang pengsan kerana keletihan.

Di samping itu, semangat waja ditunjukkan oleh wira-wira berkenaan juga dapat dilihat apabila mereka bukan sahaja tertumpu pada satu tugasan diberi, malah ia melibatkan tugasan dan tanggungjawab lain.

Sebagai contoh, seorang sukarelawan yang bertugas sebagai pegawai perantara, turut memainkan peranan menyelesaikan keperluan pemain, urusan bas, peralatan dan sebagainya. Semuanya ini memerlukan kemahiran bahasa isyarat.

Juga, para sukarelawan terbabit  turut banyak menyelesaikan keperluan penonton dari golongan pekak seperti bertanyakan arah dan sebagainya.

Dari kejohanan ini, sesuatu yang membuka mata umum ialah kehadiran ramai komuniti orang pekak sebagai penyokong pasukan yang diminati, sama ada orang tempatan mahupun rakyat asing.

Pasukan bola sepak pekak Malaysia (kiri) ketika beraksi menentang pasukan Cameroon.

Rupa-rupanya para penyokong pekak ini dari  kalangan penunggang motosikal  penghantar makanan, pemandu penumpang, peniaga gerai, bekerja sendiri dan sebagainya.

Mereka sanggup meninggalkan kerja-kerja hakiki semata-mata untuk memberi sokongan serta menyeramakkan lagi kejohanan tersebut.

Mengulas mengenai kejayaan penganjuran kejohanan tersebut, Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn mendedahkan bahawa lebih 150 sukarelawan dilatih sebelum kejohanan bermula.

Jelasnya, ini termasuk mengadakan kelas-kelas bahasa isyarat mengikut Bahasa Melayu dan Bahasa Inggersi kerana isyarat digunakan dari  dua bahasa berkenaan agak berbeza.

“Apa pun saya tabik kepada semua petugas dan sukarelawan. Mereka bekerja kerana negara, demi sukan dan atas dasar setiakawan.

“Saya tidak tahu apa penghargaan seharusnya diberi kepada mereka. Namun mereka ini adalah wira-wira di belakang tabir.

“Kini kejohanan ini telah berakhir. Saya rasa sayu kerana jika boleh saya hendak bersalaman sambil mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang terlibat sama ada pasukan keselamatan, pihak stadium, sukarelawan, media, ambulans, pihak berkuasa tempatan, universiti, pihak berkuasa sukan dan banyak lagi,” katanya ketika diwawancara pada akhir kejohanan itu.

Sepanjang kejohanan itu, para petugas dan sukarelawan masih mampu mengukirkan senyuman walaupun kepenatan sambil menjalankan tanggungjawab dengan serius.

Namun, sekeras mana pun hati waja mereka ini, di akhir kejohanan tersebut terlihat sebak dan tangisan dalam kalangan petugas kerana kejohanan itu sebenarnya telah merapatkan hubungan  kekeluargaan antara orang pekak dan normal.

Penulis sempat bertemu seorang sukarelawan yang berkata: “Suka duka, susah senang dan kepenatan yang dirasai  sepanjang kejohanan ini tidak dapat ditukar dengan emas atau wang ringgit.

“ Jika masa dapat berulang kembali, saya antara orang yang amat gembira kerana dapat menyertai kejohanan ini”.

Sebahagian penonton dan penyokong pasukan Jepun yang hadir menyaksikan pasukan negara mereka
Sebahagian penonton dan sukarelawan Malaysia mengambil kesempatan memberi sokongan kepada pasukan bola sepak pekak Malaysia

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles