KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menstruktur semula akaun ahli untuk mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, dalam usaha memperkasa simpanan persaraan serta landskap kerja yang berkembang ke arah tidak formal.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata KWSP akan memperkenal Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.
Katanya, perkara itu antara empat perkara utama yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
“Penambahbaikan dan pelanjutan program i-Saraan melangkaui tahun 2023 iaitu daripada RM300 kepada RM500 setahun. Ia ditambah baik kepada rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal, termasuk golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap di bawah umur 60 tahun yang mencarum secara sukarela. Ia dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 350,000 peserta.
“Memperluas program i-Sayang kepada suami mulai tahun hadapan iaitu isteri yang bekerja boleh memindahkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan mereka (syer pekerja) ke akaun KWSP suami mereka. Sejak dilancarkan pada Mac 2023, lebih kurang 34,000 suami menyertai membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM14.7 juta.
“Melanjutkan program i-Suri dan memperkenal caruman padanan dan amaun insentif maksimum kepada golongan suri rumah di bawah umur 60 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih. Peserta juga berpeluang untuk menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu, tertakluk kepada insentif padanan sebanyak RM300 setahun.
“Kita yakin dan percaya inisiatif ini dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga,” katanya di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2024 mencerminkan satu langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran penduduk yang semakin menua.
Katanya, dengan usaha bersepadu dalam mengukuhkan sumber dan peruntukan persaraan, belanjawan ini menyerlahkan komitmen Kerajaan Perpaduan memastikan maruah dan keselesaan rakyat.
“Kesejahteraan hari tua rakyat kekal sebagai satu keutamaan kerajaan, berikutan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan yang formal dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada masa ini, hanya 60 peratus daripada tenaga buruh di Malaysia dilindungi di bawah skim persaraan formal, iaitu Skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk penjawat awam,” katanya.
Katanya, tahap simpanan yang rendah dalam kalangan ahli KWSP juga perlu ditangani bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bersara dengan selesa dan bermakna pada hari tua.
“Penting agar keadaan semasa dapat ditangani dengan merapatkan jurang simpanan dan liputan yang wujud dalam sistem pencen dan persaraan di Malaysia,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)