Lumut: ‘Pray for us brother (Doakan kami),” itu pesanan terakhir pemain Kelab Bola Sepak Orang Kudung As-Salam FC dari Gaza, Ahmad Al Ramlawi.
Pasukan berkenaan sepatutnya tiba di Malaysia pada 15 November lalu bagi menyertai perlawanan persahabatan bersama Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA), namun mereka gagal dihubungi sejak serangan rejim Zionis ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.
Atas dasar solidariti, MAFA menganjurkan Jelajah Projek Tongkat Stand With Palestine bermula 18 hingga 26 November bagi memberi kesedaran mengenai penderitaan rakyat Palestin khasnya golongan yang menjadi kudung akibat peperangan.
Pengarah program, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pada asalnya pihaknya menjemput Kelab As-Salam supaya dapat berkongsi kisah di negara bergolak itu.
“Pemain negara kita, mereka menjadi kudung akibat kemalangan. Tetapi saudara kita di Gaza kudung disebabkan peperangan sama ada dibom atau ditembak.
“Kali terakhir kami dapat berhubung dengan mereka adalah beberapa hari selepas pencerobohan 7 Oktober lalu. Mesej terakhir mereka ‘Pray for us brother’.
“Kami tak tahu keadaan mereka di sana, sama ada mereka masih hidup atau sudah syahid,” katanya ketika ditemui pada perlawanan antara Pasukan Bola Sepak Kudung Kebangsaan Malaysia menentang Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Perak (PAFA) di padang Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET), di sini, hari ini.
Ahmad Munawwar berkata, pihaknya berharap penganjuran jelajah itu dapat membuka mata masyarakat dunia terhadap kekejaman Israel dan membawa mesej orang kurang upaya (OKU) turut berhak mendapat tempat dalam sukan.
“Kita sudah ada senarai nama mereka (Kelab As-Salam) untuk urusan pembelian tiket kapal terbang dan sepatutnya mereka bermain bersama-sama kita sepanjang jelajah ini.
“Ketiadaan mereka ini menunjukkan betapa hak mereka untuk bebas di negara sendiri dinafikan,” katanya memaklumkan tiga lagi perlawanan akan berlangsung di Putrajaya.
Perlawanan itu dimenangi PAFA dengan kelebihan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat satu sama.
Sementara itu, Setiausaha PAFA, Irwani Amirsirifuddin, berkata selain bersolidariti menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin, penganjuran jelajah berkenaan boleh menaikkan moral golongan OKU kudung.
“Apabila berlaku kemalangan melibatkan hilang anggota seperti tangan atau kaki, mereka berasa sunyi dan lemah semangat (down) sehingga tidak mahu keluar rumah.
“Kita manfaatkan melalui sosial media untuk mempelawa OKU lebih-lebih lagi mereka berumur belasan tahun supaya bergiat aktif dalam bola sepak,”katanya. (Sumber Harian Metro Online)