KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita Media Prima untuk menyampaikan berita.
Menurut hantaran di halaman Instagram Istana Negara, slot khas Buletin Diraja itu disiarkan secara eksklusif di Buletin Utama, TV3 malam ini.
Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Sri Pentas, Bandar Utama dekat sini.
“Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan menerima sembah taklimat berkaitan operasi Media Prima dan dibawa melawat Konti Radio, Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek Fm, Fly Fm dan Eight Fm,” menurut hantaran itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan melawat Bilik Berita Media Prima yang menempatkan studio program berita terbitan TV3, TV9 dan 8TV.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali dan pengurusan kanan Media Prima Berhad.
Sementara komen netizen pada sedutan video disiarkan Facebook Berita Harian Online rata-ratanya memuji baginda berdua, terutama dengan komen bersahaja Raja Permaisuri Agong pada akhir sedutan.
Netizen turut mendoakan supaya baginda berdua sentiasa sihat dan ceria selalu.
Berikut antara komen netizen pengguna Facebook:
Mukriez Ebrahim – “Permaisuri tak lawak tak sah”
Shamila Mohd – “Nape comel sangat Permaisuri ni”
Mu Fir – “Sempat Tunku Azizah berseloroh haha terbaik”
Syarifah Noraziah Alyahya – “Sporting terokkkkk”
Princess Shie – “Cek sukaaa… Semoga baginda berdua diberikan kesihatan yang baik…” (Sumber Berita Harian Online)