KUALA LUMPUR: Faisal Halim mengakui amat berbesar hati sekiranya jaringan terbaik Piala Asia 2023 yang dilakukannya dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA.
Semalam, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan secara rasmi jaringan Faisal yang juga tonggak lincah skuad Harimau Malaya itu diumum sebagai gol terbaik kejohanan Piala Asia Qatar 2023 menerusi undian penyokong, sekali gus menjulang golnya terbaik di benua Asia.
Menerusi pengesahan AFC itu, pemain Selangor FC yang dikenali dengan panggilan Mickey muncul sebagai pemain pertama dari Malaysia memenangi anugerah itu sekali gus mengetepikan 132 gol lain sepanjang kejohanan yang berlangsung di bumi Qatar bulan lalu.
Ditanya jika gol yang dihasilkan ketika menentang Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E itu dicalonkan ke Anugerah Puskas, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu mengakui tidak meletakkan harapan tinggi.
“Pada saya kalau gol saya ini dicalonkan ke Puskas (FIFA) cukup besar sebenarnya, ke anugerah cukup besar. Tapi saya sebagai pemain amat berbangga kalau disenaraikan.
“Untuk menang sudah tentu jauh sekali dalam anugerah itu, tetapi rezeki kita tak tahu. Saya dah menang untuk Piala Asia (gol terbaik kejohanan) ini pun sudah bermakna untuk saya.
“Ia satu anugerah terbesar dalam hidup saya dan memori ini akan saya ingat sampai bila-bila. Saya rasa Puskas itu saya tak nak fikir sangat, saya tak nak fokus sangat. Fokus saya sekarang untuk pasukan kebangsaan dan kelab saya,” katanya.
Untuk rekod, Faisal meraih undian paling tinggi yang dibuka di laman sosial AFC apabila menyaksikan dia meraih 85% undian untuk meninggalkan jauh tujuh pesaing lain.
Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian, sementara tempat ketiga menjadi milik kapten Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.
Mengulas lanjut kejayaan mengatasi pemain bertaraf dunia seperti Heung Min yang beraksi bersama Tottenham Hotspur di Liga Perdana Inggeris dan Al Tamari di Liga Perancis dengan Montpellier, dia mengakui tidak menduga memenanginya sama sekali.
“Sudah tentu tidak sama sekali, saya tak pernah menjangka saya dapat mengatasi pemain yang hebat, nama-nama besar. Ini semua rezeki, atas usaha saya dan rakan-rakan saya yang membantu.
“Semua rakyat Malaysia (terima kasih) dan jurulatih pasukan kebangsaan, jurulatih Kim (Pan Gon) dan semua yang terbabit dalam membentuk saya, membantu saya untuk menjadi pemain terbaik.
“Begitu juga kelab saya yang banyak membimbing saya… saya takkan lupa apa yang saya ada sekarang dan saya tak pernah rasa bangga apa yang saya ada sekarang,” katanya.
Malaysia pernah menggemparkan dunia apabila memenangi Anugerah Puskas 2016 menerusi sepakan percuma jarak jauh Faiz Subri yang dikatakan melawan hukum fizik.
Gol itu berjaya melepasi tapisan awal yang dilakukan pakar teknikal dan jurulatih hingga disenaraipendekkan kepada lima gol terbaik, sebelum ia dibuka secara dalam talian untuk diundi oleh jutaan peminat bola sepak dari seluruh dunia. (Sumber Berita Harian Online)