Washington: Pengasas Amazon, Jeff Bezos berjaya merampas kedudukan sebagai orang terkaya dunia daripada ketua eksekutif Tesla, Elon Musk, selepas saham Tesla merosot lebih daripada tujuh peratus, Isnin lalu.
UPI yang memetik Indeks Bilionair Bloomberg menyatakan, Bezos meraih tempat teratas dengan nilai kekayaan bersih AS$200 bilion (RM946.20 bilion).
Musk yang juga Pengasas SpaceX dan memiliki platform media sosial X pula menduduki tempat kedua dengan AS$198 bilion (RM936.74 bilion).
Jutawan Perancis, Bernard Arnault, yang mengendalikan konglomerat jenama mewah Louis Vuitton, Dior dan Celine pula menduduki tempat ketiga dengan AS$197 bilion (RM932.01 bilion).
Ketua Pegawai Eksekutif Meta dan pengasas Facebook Mark Zuckerberg menduduki tempat keempat orang terkaya dunia dengan AS$179 bilion (RM846.85 bilion).
Ia diikuti pengasas bersama Microsoft, Bill Gates di tempat kelima dengan AS$150 bilion (kira-kira RM709 bilion).
Bezos dan Musk sering bertukar tempat di kedudukan teratas senarai individu terkaya di dunia.
Jun lalu, Musk merampas semula tempat teratas mengatasi Arnault, dengan Bezos di tempat ketiga, pada nilai kekayaan AS$144 bilion (RM681.26 bilion).
Kejatuhan Musk dari kedudukan pertama berikutan penurunan 7.16 peratus dalam saham Tesla pada Isnin lalu, penutup terendah sejak 13 Februari lalu.
Kali terakhir Bezos memegang gelaran orang terkaya pada musim luruh 2021.
Walaupun menjual kira-kira 50 juta saham Amazon pada bulan lalu bernilai kira-kira AS$8 bilion (RM37.8 bilion), Bezos masih memegang sembilan peratus kepentingan dalam gergasi runcit dalam talian itu.
Saham Amazon naik kira-kira 17 peratus tahun setakat ini dengan Bezos memperoleh nilai AS$23 bilion (RM108.81 bilion) sepanjang tahun lalu.
Kedudukan semasa orang terkaya dunia Indeks Bilionair Bloomberg, berubah-ubah mengikut nilai saham pada penutup dagangan harian. (Sumber Harian Metro Online)