fbpx

Siti Mariam terima “duit selit” setiap hari

Shah Alam: “Ini cara suami beri nafkah semampunya kerana suami tidak mampu memberi banyak sekali gus setiap bulan, jadi dia beri wang antara RM1 hingga RM10 setiap hari ikut hasil dia peroleh dengan mengambil upah mengutip sampah,” kata Siti Mariam Elias.

“Saya bersyukur biarpun dapat sedikit, saya tidak mahu meminta-minta kerana saya tahu keadaan suami malah suami sudah usaha dan itu yang dia mampu,” katanya lagi.

Siti Mariam, 47, mengakui dirinya menerima pemberian suami seikhlas hati biarpun jumlah diterimanya tidak besar.

Namun, usaha suami menafkahinya dengan kudrat sendiri sebagai pengutip sampah di kawasan perumahannya lebih bernilai.

Suaminya, Amran Karno, 46, berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal dan melakukan kerja berkenaan sejak 10 tahun lalu bagi menyara Siti Mariam dan dua anak mereka yang berusia tujuh tahun dan sembilan tahun.

Siti Mariam dan suami bersama “duit selit” hasil dari pekerjaan mengutip sampah (Sumber Gambar Harian Metro Online)

“Suami mengambil upah mengutip dan membuang sampah di apartmen tempat kami tinggal. Daripada pendapatannya itu, setiap hari dia akan memberi nafkah kepada saya antara RM1 hingga RM10 ketika saya hendak pergi kerja.

“Suami beri wang sikit-sikit kerana dia tidak dapat nak beri dalam jumlah banyak setiap bulan. Jadi, timbul idea untuk suami selitkan wang ke dalam ‘poket wang selit’ supaya boleh selitkan duit setiap malam selepas selesai kerja,” katanya yang menetap di Seksyen 22, di sini.

Siti Mariam sebelum ini mendapat perhatian netizen selepas berkongsi inisiatif wang selit diberikan Amran yang meraih pujian kerana lelaki OKU itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan semampunya dan diterima dengan ikhlas oleh isteri.

Menurut Siti Mariam, poket wang selit itu dilakukan sejak 2019 dan ia disifatkan memberi lebih makna kepada mereka.

“Nilai diberi tidak tetap kadang-kadang RM1, RM5 atau RM10 tetapi pernah juga dapat lebih RM20 hingga RM50 apabila dia buat kerja lain pada hujung minggu. Setiap bulan jumlahnya tak tentu, ada kalanya RM50, RM100 atau RM200.

“Suami bagi duit selit kerana dia tiada pendapatan tetap dengan upah harian. Dia tiada peluang beri nafkah pada saya seperti lelaki lain. Inilah cara dia beri nafkah dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Siti Mariam dan Amran Karno bersama dua anak mereka (Sumber Gambar Sirap Limau)

Katanya, suami yang cacat kaki kini menggunakan troli baharu untuk mengutip sampah hasil sumbangan sebuah syarikat yang memudahkan kerjanya itu kerana sebelum ini, dia menggunakan troli barang diubah suai.

“Troli lama kurang sesuai kerana tiada brek, tayarnya kecil dan mudah rosak apabila digunakan untuk mengangkat beban berat. Troli baharu ini lebih ringan, ada brek keselamatan dan penutup selain mudah dikawal dan dibasuh serta lebih kukuh,” katanya yang juga pengurus kandungan strategik di syarikat swasta.

Sementara itu, Amran berkata, dia juga bersyukur isteri tidak pernah mempersoalkan jumlah wang diberikan kerana ia mengikut kemampuan pendapatan yang mengambil upah mengutip sampah di perumahan mereka.

“Wang selit saya beri isteri terlalu kecil berbanding gajinya tetapi besar ertinya kepada saya. Apabila nampak dia gembira terima duit itu, saya juga gembira dapat memberi. Besar atau kecil nilainya tak kisah kerana saya beri apa yang mampu,” katanya yang turut bersyukur menerima troli baharu.

Katanya lagi, kerja mengutip sampah tidak sukar tetapi ia perlu menggunakan banyak tenaga untuk mengangkat dan memasukkan sampah ke dalam tong sampah di rumah sampah.

“Pendapatan saya tidak menentu dan secara purata, boleh peroleh RM25 sehari dan purata sebulan RM750. Memang tidak banyak tetapi inilah yang saya mampu untuk bantu urusan ekonomi rumah tangga kami,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles