PERMATANG PAUH – “Saya tertarik dengan kehidupan adik perempuan saya yang telah sekian lama peluk Islam.
“Dia dan suaminya mempunyai dua orang anak. Kehidupan mereka tenang dan bahagia.
“Saya selalu berhubung dengan adik saya yang tinggal di Filipina. Saya tertarik dengan kehidupannya membuatkan saya mengambil keputusan untuk bersyahadah hari ini,” kata Marites P. Dumaging, 42, yang berasal dari Cabayan Valley, Filipina.
Menceritakan lebih lanjut, Marites yang telah 13 tahun tinggal dan bekerja di Pulau Pinang melibatkan kerja-kerja pembersihan rumah memberitahu, kehidupan adiknya serta rakan-rakan sekelilingnya menjadikan dia lebih memahami agama Islam.
“Hasrat untuk peluk Islam telah lama tesemai dalam hati, sebab itu dalam Ramadan baru-baru ini saya cuba mula berpuasa beberapa hari untuk lebih memahami Islam,” katanya.
Marites melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Surau Al-Shifa, Taman Cermai, Abdul Khaffar Termazi.
Program syahadah itu dikendalikan oleh Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (myIKUT). Turut hadir, Penaung myIKUT, Zolkifly Md. Lazim.
Menjawab pertanyaan, Marites memberitahu, tindakannya memeluk Islam datang dari hati yang tulus ikhlas tanpa sebarang paksaan atau desakan.
“Selepas melafazkan syahadah, saya rasa sangat tenang dan tenteram. Terima kasih,” katanya.
Marites juga memberitahu, beberapa minggu sebelum melafazkan syahadah, dia telah memaklumkan kepada kedua ibubapanya yang tinggal di Filipina.
“Mereka walaupun bukan beragama Islam tetapi mereka faham dan tidak ada halangan. Mereka berharap saya akan terus hidup bahagian seperti adik saya juga,” katanya.
Sementara itu, Zolkifly memberitahu, myIKUT akan aturkan kelas pemahaman Islam untuk Marites termasuk mengenai fardu kifayah dan ain.
“Kelas-kelas pemahaman itu lebih berbentuk dakwah jalanan di mana ia diadakan di tempat terbuka yang dikendalikan sendiri oleh para mualaf,” katanya.