fbpx

Jersi Baru, Semangat Baru: Pasukan Bola Sepak SK Puncak Perdana Bangga Jersi Ada Penaja

Kecil-kecil cili padi. Siapa sangka, pasukan bola sepak sekolah rendah pun mendapat perhatian pihak korporat dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Begitulah hebatnya pemain bola cilik dari SK Puncak Perdana.

Di bawah pengurus pasukan merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mohd Aslam bin Nor Zahari, pasukan ini berbangga kerana berjaya mendapat tajaan sepenuhnya untuk jersi baru mereka.

Jersi baru pasukan bola sepak SK Puncak Perdana yang menjadi penaik semangat semua pemain.

Mohd Aslam berkata, “Idea untuk mendapatkan penaja bagi jersi bola sepak SK Puncak Perdana tercetus apabila melihat jersi sekolah yang telah sekian lama digunakan. Jika kita lihat jersi kelab-kelab ternama negara dan antarabangsa, mereka akan membuat pelancaran jersi setiap permulaan musim baru. Jadi, saya ambil semangat itu untuk membuat jersi baru bagi pasukan bola sepak sekolah ini. Secara tidak langsung, jersi baru boleh menaikkan semangat pemain.”

Apabila impian untuk merealisasikan jersi baru bagi pasukan bola sepak ini terlaksana dengan adanya pihak penaja, para pemain termasuk guru-guru dan pihak pengurusan berasa sangat teruja. Apatah lagi dengan adanya majlis pelancaran yang diadakan di sekolah ini telah menaikkan semangat para pemain untuk beraksi cemerlang pada Kejohanan MSSD yang dijadualkan pada 4 Jun hingga 7 Jun 2024 nanti.

“Dengan adanya jersi baru yang menyemarakkan semangat pemain, harapan pihak sekolah, PIBG dan penaja adalah kecemerlangan prestasi pasukan bola sepak menjadi lebih baik. Kita tidak mahu menjadi pasukan belasahan pihak lawan. Jersi baru, semangat baru! Impian kami adalah untuk menjadi johan dalam setiap perlawanan,” tambah Mohd Aslam pada majlis pelancaran jersi baru pasukan bola sepak, Jumaat, 24 Mei 2024 lalu.

Penaja yang terlibat adalah YB Synergy Holdings Sdn Bhd, Boortz Empire Sdn Bhd, Hadrat Touch Global, EL Preschool Sdn Bhd, RAS Recond Car dan Geng Aircond.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penaja untuk jersi kali ini. Saya berharap kita akan bekerjasama dari masa ke semasa untuk memberi motivasi dan semangat kepada anak-anak pelapis kepimpinan masa depan negara. Saya berharap pasukan bola sepak SK Puncak Perdana akan berusaha sehabis baik bagi membawa pulang piala kemenangan ke sekolah. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Penasihat PIBG, Guru Besar SK Puncak Perdana, Ani binti Meh,” ujar Mohd Aslam menutup bicara.

Dari kiri: Mohd Aslam bin Nor Zahari, Penasihat E.L. Preschool & Taska Puteri Elena, Sukri bin Haron, Pengarah Urusan E.L. Preschool & Taska Puteri Elena, Noor Elena binti Ilias dan CEO YB Synergy Holdings Sdn Bhd, Nik Nurfarah Fareena.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Penasihat E.L. Preschool & Taska Puteri Elena, Sukri bin Haron, CEO YB Synergy Holdings Sdn Bhd, Nik Nurfarah Fareena, Guru Besar SK Puncak Perdana, Ani binti Meh, Pengarah Urusan E.L. Preschool & Taska Puteri Elena, Noor Elena binti Ilias dan Penolong Kanan 1, SK Puncak Perdana, Puan Norhayati.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles