TAIPING – Penceramah agama bertauliah, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) kerana memiliki senjata sundang terbanyak iaitu 211 bilah sundang.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Pameran Sundang: Seni dan Kuasa di Muzium Perak di sini.
Pameran yang akan berlangsung selama enam bulan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Ustaz Muhamad pada sidang akhbar memberitahu, sundang-sundang tersebut mula dikumpul sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila banyak aktiviti lain termasuk ceramah agama sangat terhad.
“Sejak itu saya mula mengumpul sundang dan kebanyakannya diperolehi dari waris-waris yang tidak lagi mahu menyimpan sundang tersebut.
“Ini satu pengiktirafan yang amat baik daripada MBOR.
“Pada masa ini saya masih terus mengumpul sundang-sundang baharu,” katanya.
Menjawab pertanyaan, beliau berkata, antara sundang yang dimiliki itu berusia sekitar kurun ke-15.
“Sundang berusia sekitar kurun ke-15 itu adalah antara yang tertua dimiliki dan menjadi daya tarikan utama,” tambahnya.
Sempena pameran tersebut, turut diadakan ialah demonstrasi seni mempertahankan diri melibatkan beberapa pertubuhan seni bela diri.
Sementara itu, Ustaz Muhamad memberitahu, selain pameran, pihaknya dengan kerjasama Muzium Perak turut mengadakan pertandingan fotografi kreatif.
“Kita juga menyediakan hadiah-hadiah menarik kepada pemenang berupa sundang baharu,” katanya.