PULAU PINANG – Lebih 450 peserta, kebanyakannya dari komuniti orang pekak menyertai Larian Amal Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan (FSD) di Tanjung Bungah dekat sini.
Larian sempena ulang tahun ke-70 FSD sejauh 5 kilometer itu berjaya mengumpulkan sejumlah besar bekas pelajar FSD dan ahli keluarga mereka yang datang dari seluruh negara.
Para peserta larian telah dilepaskan oleh Pengerusi Alumni FSD yang juga Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Rueen.
Apa yang menarik, selain peserta dewasa, larian berkenaan turut disertai oleh kanak-kanak dari keluarga orang pekak dan juga golongan orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Shin Ruenn ketika berucap sebelum melepaskan para peserta berkata, larian di bawah Program Semarak FSD 2024 itu antara lain bagi mengumpulkan bekas-bekas pelajar serta merapatkan lagi hubungan komuniti orang pekak.
Jelasnya, FSD telah banyak berjasa dalam melahirkan golongan pekak yang berkemahiran dalam pelbagai bidang kerjaya.
“Di FSD inilah anda semua diasuh dan dididik dengan pelbagai kemahiran hingga beroleh pekerjaan.
“Di sekolah ini jugalah anda semua dilatih supaya tidak merasa rendah diri berbanding komuniti normal.
“Kita di FSD merupakan ahli keluarga yang sangat besar. Setelah 70 tahun, FSD masih utuh dan berbangga menjadi sekolah yang melahirkan ramai insan-insan pekak yang berpengetahuan dan berkemahiran,” katanya ketika berucap menggunakan bahasa isyarat.
Sementara itu, seorang peserta berkerusi roda, Syed Shahar Syed Hassan, 52, berkata, ia merupakan aktiviti sampingannya bagi menjaga tahap kecergasan badan.
Menurutnya, dia menyertai larian tersebut setelah mendapat maklumat daripada internet.
“Saya tertarik dengan penyertaan larian ini kerana ia melibatkan komuniti pekak dan OKU.
“Saya berbangga dapat menyertai larian ini walaupun saya bukan dari FSD tetapi yang penting dapat mengenali komuniti pekak,” katanya yang datang bersendirian dan merupakan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal dekat sini.
ends