PULAU PINANG – Tindakan kerajaan membenarkan tentera laut negara China yang berlabuh dengan dua buah kapal perang negara itu dan seterusnya hadir dalam program di sebuah sekolah di negeri ini bukan sahaja dianggap sebagai keterlaluan, malah melanggar prinsip-prinsip keadilan.
Setiausaha Penerangan Bersatu Negeri Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menghalang kehadiran kapal serta anggota tentera laut negara berkenaan, tetapi dari satu segi ia dilihat telah menyalahgunakan premis sekolah kerana melibatkan perbezaan ideologi antara Malaysia dan China.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, sepatutnya program melibatkan tentra laut China itu hendaklah diadakan di luar premis sekolah dan juga timbul persoalan adakah kerajaan pusat dan kerajaan negeri meluluskan perjumpaan seperti ini.
“Kenapa perlu diadakan di sekolah. Janganlah bagi apa jua alasan. Hakikatnya jangan sekali-kali diadakan di premis sekolah. Tambahan pula ia melibatkan anggota tentera negara China yang berbeza ideologinya dengan Malaysia.
“Adalah dikhuatiri nanti timbul tanggapan bahawa kerajaan Malaysia yang suatu ketika dulu pernah berperang bermati-matian dengan pengganas Parti Komunis Malaya(PKM) kini seolah-olah sudah mengiktiraf pula peranan serta ideologi komunis.
“Saya timbulkan perkara ini kerana khuatir pelajar-pelajar kita akan bertanggapan sedemikian.
“Kita tidak halang jika kehadiran tentera laut itu boleh meningkatkan sektorpelancongan Malaysia, tetapi bukan melibatkan penggunaan premis sekolah,” katanya.
Zulkifli turut mempersoalkan sikap ketelusan kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan dalam membenarkan program sedemikian berlangsung di sekolah.
Menurutnya, selama ini kerajaan madani menghalang pelbagai pihak termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Bersatu sendiri dari memasuki dan menganjurkan program di sekolah walaupun ia bukan melibatkan program politik.
“Kita (Bersatu) banyak kali memohon menganjurkan program kemasyarakatan, keibubapaan dan sebagainya dan bukannya melibatkan politik atau berkempen, namun semuanya tidak tolak.
“Tapi kini kerajaan boleh membenarkan anggota tentera dari negara China menghadiri program di sekolah. Apakah ini satu keadilan pada kita (Bersatu) yang merupakan rakyat sah negara ini?” tanya beliau.
Zulkifli menambah, sepatutnya apabila terdapat kehadiran anggota tentera mana-mana negara, ia sepatutnya melibatkan program dengan anggota tentera Malaysia.
“Lebih tepat jika diadakan program dan kerjasama antara tentera Malaysia dan tentera China.
“Harapan saya agar perkara seperti ini tidak berulang lagi kerana ia akan memberi kesan negara negatif termasuk kepada kalangan ibu bapa serta pesara-pesara tentera yang pernah berjuang melawan komunis,” katanya.