Presiden SELSDEAF pernah lalui detik-detik sedih dihina ketika usia 8 tahun kerana pekak

SHAH ALAM – Di sebalik kemenangan  Sarkunan a/l Balakrishnan sebagai Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor (SELSDEAF) bagi tempoh 2024 – 2028, tersembunyi rahsia kehidupan anak penoreh getah ini sejak di bangku sekolah lagi.

Sarkunan yang kini berusia 58 tahun, mula hilang pendengaran sejak berusia 8 tahun selepas mengalami demam panas.

Menceritakan kisah hidupnya, Sarkunan memberitahu, selepas deman panas ketika bersekolah di Melaka, dia mula hilang pendengaran.

“Walaupun pekak, saya tetap ke sekolah. Memang ia satu dunia baharu kerana semua persekitaran saya senyap sunyi.

“Sejak itu, saya juga mula kehilangan kawan-kawan. Jika dulu saya ada ramai kawan, apabila hilang pendengaran, kawan-kawan mula berkurangan,” katanya memulakan perbualan selepas menang tanpa bertanding jawatan Presiden SELSDEAF pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 SELSDEAF di sini.

Beliau berjaya mempertahankan jawatan presiden yang telah disandangnya sebelum ini.

Sarkunan a/l Balakrishnan (lima dari kanan) berama anggota-anggota exco SELSDEAF yang baru dipilih.

Menurut Sarkunan, walaupun berlaku perubahan pada dirinya akibat hilang pendengaran, namun dia ditetap terus pergi ke sekolah yang dihuni oleh murid-murid normal.

Jelas beliau, kehidupannya ketika itu menjadi sukar kerana kawan-kawan lain dapat memahami apa yang diajar dalam masa sehari.

“Tapi saya terpaksa mengambil masa sehingga lima hari untuk memahami apa yang guru ajar di sekolah.

“Pulang sahaja dari sekolah, saya baca semula apa yang guru ajar tapi lima hari baharu faham,” katanya yang mempunyai seorang isteri normal dan dua anak perempuan berusia 21 dan 26 tahun yang juga normal.

Meneruskan kisahnya, Sarkunan memberitahu, pada satu tahap seorang guru pernah menyuruhnya berhenti sekolah dan tumpukan kerja-kerja memerah susu lembu bagi mencari pendapatan.

“Saya tidak marah atau berkecil hati. Mungkin guru itu penat mengajar untuk memberi  kefahaman kepada saya. Saya sebaliknya terus pergi ke sekolah walaupun menghadapi kesukaran untuk memahami subjek diajar,” katanya.

Sarkunan yang merupakan anak ketiga dari tujuh beradik memberitahu, kehidupannya ketika itu memang sukar kerana ibu bapanya berpendapatan kecil sebagai penoreh getah.

“Selepas pulang dari sekolah, saya membaca semula apa yang guru ajar, manakala pada  sebelah petang saya akan mengambil upah menoreh getah.

“Di sebelah malam pula,  saya akan perah susu lembu dan terus menjualnya. Keluarga kami ada dua ekor lembu. Itulah rutin kehidupan  saya sejak kecil,”  katanya.

Pada satu tahap, beliau berkata, ketika lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dengan pangkat B, ada guru yang berasa pelik bagaimana dia boleh lulus.

“Guru itu tidak percaya  saya boleh lulus. Dia kata saya meniru. Saya tak marah guru itu,” katanya sambil memandang jauh mengingatkan peristiwa silam.

Disebabkan kemiskinan hidup jugalah, Sarkunan kerap tidak mempunyai wang belanja ke sekolah.

“Wang yang ada untuk tambang bas. Kalau lapar semasa di sekolah, saya akan minum air paip sebanyak mungkin. Balik dari sekolah, barulah saya makan hingga kenyang,” katanya.

Sebahagian ahli-ahli SELSDEAF yang menghadiri mesyuarat di Shah Alam.

Sebelum mengakhiri  kisah hidupnya, Sarkunan berkata, disebabkan mahu terus belajar termasuk sekadar lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kehidupannya kini dirasakan lebih terjamin setelah terbabit dalam urusan kontraktor  elektrik.

Mengenai perancangan SELSDEAF pada 2025, Sarkunan memberitahu, persatuan itu merancang memperkenalkan beberapa acara sukan baharu untuk atlet orang pekak di Selangor termasuk renang, memanah dan karate.

“Kita juga akan perkuatkan lagi acara-acara lain seperti olahraga, bola sepak, futsal dan badminton,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles