PULAU PINANG – Ajaran Islam yang menyuruh penganutnya sentiasa menghormati serta menjaga ibu bapa, menjadi pegangan kuat seorang wanita mualaf yang setia menjaga ibunya walaupun mereka berlainan agama.
Cheam Cheng Gaik, 64, yang memeluk Islam sejak 25 November 2024, bertekad menggunakan segala kudrat yang ada untuk menjaga ibunya berusia 90 tahun.
Malah, walaupun hampir 10 tahun tidak lagi bekerja atau mempunyai pendapatan tetap, wanita berkenaan rela menggunakan segala wang simpanan yang masih ada untuk membeli ubat-ubatan serta merawat ibunya, Lim Chooi Lean.
“Saya anak tunggal dan bapa telah meninggal dunia sejak 2014. Tiada sesiapa lagi yang ada dalam keluarga kami.
“Sejak bapa meninggal dunia, saya telah berhenti kerja sebagai pengurus hotel di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Pulau Pinang untuk menjaga ibu.
“Saya begitu tertarik dengan ajaran Islam yang menyuruh penganutnya sentiasa menghormati dan menjaga ibu bapa walaupun mereka berlainan agama.
“Setelah sekian lama berfikir, saya mengambil keputusan melafazkan syahadah pada November lalu.
“Kini saya lebih bersemangat dan bertekad untuk menjaga ibu yang hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya.
Cheng Gaik ditemui dalam program ziarah oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim di rumah wanita itu di Bayan Lepas di sini.
Program ziarah IKUT itu diadakan setiap minggu terhadap kalangan mualaf yang memeluk Islam melalui pertubuhan berkenaan.
Cheng Gaik berkata, walaupun dia tidak lagi bekerja, namun nasib menyebelahinya kerana terdapat jiran-jiran mualaf yang dari semasa ke semasa menghulurkan bantuan.
Antara bantuan itu termasuk lampin pakai buang dan barangan makanan.
“Bukan saya tidak mahu bekerja, namun dengan keadaan kami yang hanya tinggal berdua, selain ibu terlantar sakit, saya terpaksa menjaganya dari pagi hinggalah malam sebelum ibu tidur.
“Ketika ibu tidur, itulah waktu untuk saya berehat,” katanya.
Cheng Gaik berkata, antara rutin kehidupannya ialah menyediakan makanan untuk ibunya , memberi ubat dan merawat luka-luka selain memandikan ibunya.
“Baru=baru ini ibu terjatuh menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kaki kanannya.
“Ekoran kejadian itu saya terpaksa menggunakan khidmat ambulans untuk berulang-alik membawa ibu ke hospital termasuk apabila ada janji temu dengan doktor,” katanya.
Cheng Gaik juga berterima kasih kepada IKUT kerana sentiasa mengambil berat serta membantu mereka berdua.