KUALA LUMPUR – Karnival anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan di Datum Jelatek Shopping Centre di sini, yang turut disertai Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung.
Kalangan yang hadir itu termasuk pelajar-pelajar pendidikan khas bersama ahli keluarga masing-masing.
Pada masa sama, karnival selama dua hari yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir. Ts. Zahir Hassan, turut disertai guru-guru dari sekolah sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Konsep karnival berkenaan antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid pendidikan khas sama ada peringkat sekolah rendah atau menengah serta ahli keluarga mereka mengenai kemahiran serta peluang-peluang pendidikan hingga ke peringkat tinggi.
Di samping itu, pada karnival berkenaan, turut diadakan ialah beberapa pertandingan seperti ‘aerodance’, dekorasi kek dan banyak lagi.
Sementara itu, Penasihat MFD Mohamad Sazali Shaari memberitahu, penyertaan MFT amat penting kerana sebahagian besar murid pendidikan khas adalah terdiri dari orang pekak.

Jelasnya, kehadiran murid-murid tersebut bersama guru dan ahli keluarga masing-masing secara tidak langsung dapat memahami peranan MFD terutama berkaitan dengan penggunaan bahasa isyarat.

“Ini termasuk penggunaan bahasa isyarat secara betul dan tepat. MFD sentiasa bersedia dan dari semasa ke semasa turut menganjurkan kursus serta bengkel berkaitan bahasa isyarat,” katanya.