KUALA LUMPUR – ASEAN Women Economic Summit 2025 yang berlangsung selama dua hari di ibu negara dengan penyertaan lebih 700 peserta, telah menampilkan kelainan apabila dua jurubahasa isyarat ditugaskan untuk mengimplementasikan segala mesej agar dapat dikongsi bersama oleh komuniti pekak.
Persidangan bermula 24 Mei itu disertai bukan sahaja oleh peserta wanita dari Malaysia, malah turut terlibat ialah peserta Brunei, Singapura, Thailand dan beberapa negara ASEAN yang lain.

Disebabkan persidangan bertaraf antarabangsa itu amat penting, pihak penganjur telah menugaskan dua jurubahasa isyarat dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) yang merupakan pertubuhan induk untuk orang pekak di negara ini.
Langkah menugaskan dua jurubahasa isyarat berkenaan bukan kerana peserta persidangan dari kalangan orang pekak tetapi sebaliknya ia merupakan langkah mesra pihak penganjur agar mesej dari persidangan dapat dikongsi bersama oleh komuniti pekak.
Dua jurubahasa isyarat dari MFD itu ialah Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI), Wan Zuraidah Abu dan timbalannya, Goh Soo Leng.
Sepanjang dua hari persidangan, dua jurubahasa isyarat berkenaan ditugaskan menyampaikan apa jua mesej dan hasil persidangan termasuk sesi soal jawab.
Ia merupakan tugasan yang amat berat dan tanpa henti bermula dari pagi hingga petang.

Tugasan dua jurubahasa isyarat itu juga bertambah berat apabila ia melibatkan terjemahan dari ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.