CAMERON HIGHLANDS – Jantung berdegup lebih pantas, hembusan nafas menjadi pendek, hidung mula berair dan hayunan langkah semakin perlahan.
Itu antara simptom-simptom yang dialami pendaki sepanjang perjalanan menuju ke puncak Gunung Brinchang Barat di Cameron Highlands, Pahang pada hari Sabtu, 3 September 2022.
Namun, jerih perih itu sedikitpun tidak mematahkan semangat kesemua 17 pendaki dari kelab Kembara Kosmopolitan tersebut untuk menawan ke puncak gunung yang berketinggian 2,032 meter dari aras laut itu.
Angin sejuk yang menggigit tubuh diserap dengan pemandangan indah hutan lumut atau mossy forest di sepanjang trek.
Mata seakan-akan terpukau dengan keindahan fauna dan flora yang menghiasi dada-dada hutan tersebut.
Itu antara ‘nikmat dunia’ yang tidak mampu untuk dinafikan, sekali gus menjadi kenangan terindah dalam hati pendaki.
Mengimbas detik pendakian tersebut, kesemua pendaki berkumpul di hadapan McDonald’s Brincang seawal pukul 7.30 pagi.
Selepas berkenalan dengan tiga penunjuk arah (guide) yang hanya dikenali sebagai Intan, Adi dan Epi, mereka memulakan perjalanan ke pintu rimba melalui jalan tar yang mengambil masa kira-kira 10 minit.
Ia dianggap sebagai aksi pemanas badan terbaik kerana mereka terpaksa melalui jalan tar yang mendaki.
Di pintu rimba, aktiviti diteruskan sesi taklimat, doa dan bergambar secara berkumpulan.
Sebaik melepasi pintu rimba, pendaki diuji dengan trek ‘pacak’ untuk sampai ke check point Pak Mat.
Kemudiannya, pendaki melepasi check point Malta, check point UTem dan check point UiTM untuk sampai ke puncak lebih kurang pada pukul 12 tengah hari.
Selain laluan mendaki yang mencabar, pendaki juga terpaksa meredah trek lecak yang kadangkalanya menenggelamkan kasut.
Di puncak, pendaki menggunakan kesempatan yang ada untuk menikmati makan tengah hari yang diberikan pada awal pendakian.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa nikmatnya menjamu selera di puncak gunung dalam keadaan cuaca sejuk, berkabus dan dikelilingi pokok-pokok bonsai yang dilitupi lumut.
Para pendaki juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan yang berlatarbelakanagkan mossy forest, seakan-akan berada dalam dunia yang berlainan.
Kira-kira pukul 1.30 petang, pendaki mula bergerak turun dan sampai ke pintu rimba pada pukul 3.30 petang.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini tidak hujan meskipun ada kalanya kabus menutupi pemandangan kami.
“Ini satu pengalaman yang baharu bagi saya kerana ini pertama kali mendaki di hutan berlumut dalam keadaan cuaca sejuk.
“Pemandangan sangat indah di sepanjang trek,” kata Anuar Awaludin, 55, yang merupakan salah seorang pendaki dari Puncak Alam, Selangor.
Pada awalnya, pendakian ini dirancang untuk mendaki Gunung Irau tetapi terpaksa di tukar ke Gunung Brincang Barat selepas laluan ke Gunung Irau ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan.