SAO PAULO: Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dalam banjir dan tanah runtuh, selepas hujan lebat melanda Sao Paulo, Brazil.
Rakaman televisyen dan media sosial yang diambil di bandar San Sebastiao menunjukkan seluruh kawasan kejiranan ditenggelamkan air, serpihan rumah di lereng bukit dihanyutkan oleh tanah yang bergerak, manakala lebuh raya dinaiki air dan kereta musnah akibat pokok tumbang serta kerosakan lain.
Seramai 228 orang kehilangan tempat tinggal dan 338 lain dipindahkan di wilayah pantai utara bandar Sao Paulo.
Menurut kerajaan negeri dalam satu kenyataan, pasukan penyelamat kini sedang mengejar masa membantu orang ramai.
Mereka bagaimanapun tidak memberikan angka jumlah yang hilang.
Gabenor Sao Paulo, Tarcisio de Freitas mengisytiharkan darurat di lima bandar di sepanjang pesisir pantai.
San Sebastiao, kira-kira 200 kilometer utara Sao Paulo dan tempat percutian cuti hujung minggu, antara kawasan yang paling teruk terjejas, iaitu hujan turun selama 24 jam dan mencatatkan paras air sedalam 60 sentimeter.
Datuk Bandar, Felipe Augusto, berkata pihaknya belum lagi mengira skala kerosakan.
“Kami sedang cuba menyelamatkan mangsa,” katanya.
Cuaca ekstrem yang didorong perubahan iklim memberi kesan buruk kepada Brazil.
Tahun lalu, hujan lebat di bandar Petropolis mengorbankan lebih 230 orang. – BHarian Online & AFP