SEPANG – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meneruskan komitmennya untuk memenuhi keperluan penumpang dan pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam aspek beribadah melalui pemeteraian satu perjanjian dengan Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. (Siti Khadijah).
Menerusi kerjasama tersebut, Siti Khadijah akan menaja kelengkapan ibadah keluaran syarikat disediakan di surau KLIA Terminal 1 secara berperingkat bagi meningkatkan keselesaan penumpang muslim ketika menunaikan solat sepanjang perjalanan mereka.
Penajaan ini bermula di Surau Anjung Tinjau KLIA Terminal 1, menerusi penyediaan kelengkapan ibadah Siti Khadijah serta penambahbaikan rak paparan dan kemudahan surau dengan penerapan elemen jenama.
Penyediaan ini merangkumi kelengkapan ibadah untuk jemaah lelaki dan wanita, bagi menyokong keperluan penumpang muslim yang ingin menunaikan solat ketika berada di lapangan terbang.
Pengurus Besar Kanan, Pengalaman, Penumpang dan Operasi KLIA, Abd Hasman Abd Muhimim berkata, penyediaan kemudahan yang memenuhi keperluan penumpang merupakan antara aspek yang diberi perhatian dalam meningkatkan nilai pengalaman mereka di lapangan terbang.
Menurut beliau, selain memastikan kemudahan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan terjaga, aspek kebersihan turut dititikberatkan, termasuk memastikan telekung di basuh dua kali seminggu bagi menjamin keselesaan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin menerangkan, inisiatif penajaan ini membuka ruang kepada syarikat untuk memperluaskan peranan produknya dalam persekitaran yang dekat dengan keperluan masyarakat.
“Perjalanan sering membawa kita ke pelbagai destinasi, namun keperluan untuk menunaikan solat tetap menjadi sebahagian daripada rutin seorang muslim.
“Melalui inisiatif penajaan ini, kami berpeluang menyediakan kelengkapan ibadah Siti Khadijah di surau-surau KLIA Terminal 1 agar penumpang dapat menunaikan solat dengan lebih selesa sebelum meneruskan perjalanan.
“Kami berharap usaha ini dapat memberi pengalaman yang baik kepada penumpang dan menjadi asas kepada kerjasama yang berterusan antara Siti Khadijah dengan Malaysia Airports,” katanya.
Antara kelengkapan yang dibawa menerusi penajaan ini ialah Telekung Modish Zaila, dengan rekaan yang dilengkapi sulaman renda berinspirasikan motif mushaf, memberikan sentuhan halus yang melengkapi keselesaan ketika solat.
Keperluan jemaah lelaki turut diberi perhatian menerusi Pelikat Rena An-Nafees daripada koleksi pakain lelaki TEMAN, yang menampilkan tekstur jacquard moden dengan motif tenunan berinspirasikan era Renaissance.
Sejadah Hazrat Carpet pula menampilkan tekstur lembut dengan material yang tahan lama, sesuai untuk kegunaan harian. – KOSMOPOLITAN
