ARAU – Setiap pagi selepas solat subuh, dia mengambil upah menoreh getah, dua jam kemudian mengangkat guni baja sebelum berehat menjaga bapanya yang sakit akibat serangan jantung manakala sebelah petang hingga malam dia perlu menjalani latihan lompat kijang.
Itulah rutin harian atlet pekak, Zaiman Megat Abu, 22, dengan latihan serba kekurangan termasuk tanpa elaun latihan manakala trek latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang dekat sini diadakan di atas jalan tar yang dilapik dengan karpet rumput tiruan terpakai.
Pada masa sama, rakannya, Hazrul Shah Hamri, 20, yang merupakan atlet pekak lompat juah, rutin hariannya dari pagi hingga petang mengambil upah mencuci kenderaan dengan pendapatan RM36 hingga RM40 sehari bergantung kepada jumlah kereta sebelum berlatih di sekolah yang sama.
Kedua-dua atlet pekak itu berlatih di bawah seliaan guru pendidikan jasmani sekolah berkenaan, Sanusi Zainal Abidin setiap hari, kecuali hari Sabtu.
Bagi Zaiman, dia kini dalam latihan pesat untuk menyasarkan pingat emas pada Kejohanan Olimpik Pekak pada tahun 2025 di Jepun.
Zaiman mempunyai harapan amat cerah memandangkan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Melaka pada Disember tahun lalu, dia berjaya mencatat jarak lompatan terbaik lompat kijang iaitu 13.89 meter yang berjaya mengatasi catatan jarak pemenang pingat perak Sukan Olimpik Pekak di Brazil. Prestasi Zaiman semakin meningkat semasa latihan dan kini telah berjaya mengatasi jarak 14.30 meter.
Manakala pemenang pingat emas di Brazil berumur 38 tahun semasa kejohanan di Brazil. Dengan keadaan itu, juara bertahan itu akan berumur 41 tahun pada Olimpik Pekak Jepun 2025 nanti.
Menurut Zaiman, dia akan terus berlatih selain bekerja mengambil upah menoreh getah dan mengangkat guni baja disebabkan itu sahaja pendapatannya bagi menampung keperluan hidup.
“Upah menoreh getah itu sering kali tidak dapat dilakukan disebabkan hari hujan, manakala upah angkat guni baja hanya ketika musim menanam padi. Apabila padi sudah membesar, tiada lagi upah angkat guni baja.
“Dua kerja rutin itu tidak tetap. Saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Memang penat kerana perlu membuat dua pekerjaan harian dan menjaga bapa yang sakit sebelum menjalani latihan setiap hari,” katanya ketika diwawancara dengan bantuan seorang jurubahasa isyarat di Sekolah Menengah Syed Ahmad di sini.
Bagi Hazrul pula, jarak catatan yang dilakukan semasa Kejohanan Sukan Sea Pekak tahun lalu telah berjaya memenangi pingat emas dan latihan berterusan di bawah seliaan jurulatihan Sanusi menyakinkan bahawa harapan untuk memenangi pingat di Olimpik Pekak Jepun 2025 adalah cerah.
Menceritakan lebih lanjut, Hazrul berkata, dia sebelum ini belajar gunting rambut, namun kedai berkenaan tutup.
“Kini saya ambil upah mencuci kereta setiap hari. Bergantung kepada jumlah kereta. Upah yang diperolehi akan dikongsi dengan empat pekerja lain.
“Upah harian saya RM36 hingga RM40. Kerap kali berkurangan kerana bergantung kepada jumlah kenderaan yang datang hendak dicuci,” katanya.
Dua atlet pekak berkenaan akan berlatih bersama di bawah seliaan guru pendidikan jasmani, Sanusi.
Sementara itu, Sanusi berkata, dua atlet berkenaan berlatih tanpa menerima sebarang elaun tetapi tetap bersemangat kerana ingin memenangi pingat di Olimpik.
“Mereka perlu bekerja setiap hari sebelum menjalani latihan dari petang hingga malam dalam pelbagai kekurangan. Walaupun penat, tetapi demi semua itu bagi mengubah kehidupan keluarga yang lebih baik, mereka menyasarkan pingat dan berhasrat menaikkan nama serta imej negara.
“Malah, kejohanan yang disertai seperti di Melaka adalah ditampung oleh pihak persatuan dan perbelanjaan sendiri.
“Begitu juga dengan kejohanan lain termasuk Olimpik Pekak Jepun, jika tiada peruntukan kewangan, semua usaha akan sia-sia,” katanya.
Selain menyasarklan Olimpik Pekak Jepun 2025, Sanusi berkata, dua atlet berkenaan juga dijangka menyertai kejohanan bagi orang pekak iaitu Sukan SEA Pekak pada September 2024 di Jakarta dan Sukan Asia Pasifik Pekak 2024.
“Namun, kejohanan Sukan SEA dan Asia Pasifik itu bergantung kepada tajaan dan bantuan kewangan dan setakat ini belum ada sebarang perkembangan positif mengenainya,” katanya.
Menjawab pertanyaan, Sanusi berkata, trek latihan untuk dua atlet itu diusahakan beliau sendiri di atas jalan tar dan ditutupi karpet rumput tiruan terpakai.
“Sekolah ini tidak mempunyai padang untuk sukan, jadi saya gunakan ruang yang ada untuk dua atlet itu berlatih. Trek yang sama juga digunakan oleh para pelajar sekolah ini,” katanya yang memberi latihan kepada Zaiman dan Hazrul tanpa menerima sebarang elaun jurulatih.