fbpx

Masjid Saidina Ali Abi Talib wujudkan pusat sehenti untuk mualaf

KUANTAN – Masjid Saidina Ali Abi Talib, Bukit Sekilau di sini, kini di peringkat akhir menyediakan sebuah pusat sehenti dengan pelbagai kemudahan untuk golongan mualaf.

Usaha itu bagi memberi pembelaan lebih teratur dan berkesan untuk meningkatkan siar Islam kepada golongan tersebut.

Pusat sehenti yang menelan belanja jutaan ringgit itu kini giat dalam proses  disiapkan dan dijangka beroperasi sepenuhnya dalam masa dua hingga tiga bulan lagi.

Pengerusi  Masjid Saidina Ali Abi Talib, Datuk Haji Halidan Md. Daud ketika ditemui memberitahu, apabila beroperasi sepenuhnya, sebanyak 20 keluarga mualaf dari sekitar kawasan berkenaan akan mendapat manfaat.

Menurutnya, pusat itu juga menerima kehadiran golongan mualaf sekitar daerah Kuantan dan juga yang datang dari seluruh Pahang.

“Kita mengalu-alukan kehadiran golongan mualaf  di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata, antara kemudahan di pusat sehenti itu ialah dewan pengajian, pejabat pentadbiran, dewan makan, bilik bacaan dan asrama bagi mereka yang memerlukan penginapan sementara.

Jelasnya, golongan mualaf akan mendapat pembelaan sewajarnya terutama melibatkan pengajian ilmu dan yang berkaitan akidah.

“Pusat ini juga akan menyediakan data lengkap mengenai golongan mualaf melibatkan alamat tempat tinggal, pekerjaan dan sebagainya. Langkah ini membolehkan kita memantau dan mengikuti  perkembangan mereka.

“Kita mahu memastikan golongan mualaf tidak ketinggalan dari segi ilmu.

“Mereka yang dalam keadaan terdesak seperti memerlukan penginapan sementara atau transit, kita ada sediakan termasuk makan minum.

Halidan Md. Daud (kanan) bersama Izudin Muhamad Amin meninjau persiapan pusat sehenti di Masjid Saidin Ali Abi Talib, Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang.

“Secara umum, pusat sehenti ini berperanan membantu golongan mualaf dalam pelbagai perkara seperti pekerjaan dan sebagainya agar mereka tidak rasa terbiar atau tersisih. Kita mahu golongan mualaf ini terus dekat dengan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pembangunan dan Ekonomi Masjid Saidina Ali Abi Talib, Haji Izudin Muhamad Amin berkata, kehadiran golongan mualaf di pusat sehenti itu secara langsung membolehkan mereka mengikuti khutbah Jumaat dan ceramah ilmu yang diadakan di Masjid Saidina Ali Abi Talib.

“Pusat sehenti ini adalah hasil sokongan dan bantuan daripada penduduk setempat yang mahu memastikan saudara seagama terus mendapat pembelaan,” katanya.

Izudin seterusnya mengalu-alukan sumbangan serta bantuan daripada masyarakat setempat demi membela golongan mualaf.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles