MENITI puncak karier seni sekarang pelakon, Hun Haqeem berhasrat ingin terus mencapai banyak lagi hal diimpikan. Baik untuk kepuasan peribadi mahupun pengukuh profil kerjaya, dia tahu usaha perlu dilipatgandakan.
Atas alasan itu juga Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 25, perlu sisihkan perhatian terhadap soal tamatkan zaman bujang buat seketika. Masih ada cita-cita lain ingin dikejarnya.
Walaupun tidak berkongsi spesifik apa lagi impian ke depannya, pelakon kelahiran Kuching, Sarawak ini berazam ingin kariernya lebih mekar. Misinya tidak lain untuk terus perbaiki segala aspek diri.
“Sekarang pun saya masih sedaya upaya majukan diri, masih mencari versi terbaik diri. Sebab saya rasa belum capai lagi beberapa impian tertentu yang saya nak untuk karier.
“Saya nak ambil peluang yang ada untuk tolak diri ke depan sedikit lagi,” katanya.
Hun beruntung dia tidak mendapat tekanan daripada keluarga apabila menyentuh perihal jodoh. Terutama sekali bonda tercinta yang sebaliknya sentiasa merestui dan jadi tulang belakang kariernya.
Bukan bermakna dia tidak terfikir soal berkahwin langsung. Hakikatnya, dia pun sentiasa terbuka hati andai dipertemukan jodoh secepat mungkin.
“Mak saya pula jenis yang sangat menyokong dan sentiasa sokong karier saya. Dia tengok mana yang saya selesa, itu dia sokong. Dia tak pernah memaksa kahwin cepat atau lambat.
“Saya okay saja kalau sudah masanya untuk kahwin. Tapi, macam saya cakap, masih ada beberapa hal lagi perlu saya kejar. Jadi, saya nak capai yang itu dulu,” katanya.
Pernah diaju soalan jodoh ketika baharu mencipta nama dulu, Hun tidak nafikan sasaran asalnya ingin berkahwin awal. Tapi, menurutnya dia akur saja jika hal lain terlebih dulu menerpa dirinya.
“Dulu awal-awal rasanya saya pernah cakap nak kahwin cepat. Tapi, sudah melepasi sasaran pula. Tidak apa-apa, mana-mana yang datang dulu,” katanya.
Antara pencapaian manis yang turut menghiasi profil seninya tahun ini tentunya peluang berkunjung ke Indonesia baru-baru ini. Ketika itu, dia ke sana mempromosikan siri Nenek Bongkok Tiga.
Oleh kerana ia atas tujuan kerja, dia tidak menafikan terbit rasa berdebar dalam diri. Apalagi dia sendiri belum ada pengalaman bertemu peminat selain dari Malaysia yang biasa dihadapinya selama ini.
“Itu adalah kunjungan julung kali saya ke Indonesia untuk promosikan kerja. Sebelum ini pernah saja melawat negara itu.
“Perasaan saya sebenarnya sangat-sangat berdebar. Saya tak pernah ke luar Malaysia untuk kerja dan berkomunikasi dengan orang luar negara,” katanya.
Turut ke sana bersama rakan seperjuangan juga pelakon Meerqeen, nyata memberi kelegaan buat Hun. Katanya, Meerqeen adalah individu yang paling banyak meleraikan keresahan bersarang dalam diri.
“Tapi, alhamdulillah saya nak berterima kasih kepada Meerqeen, dia pernah ke sana lebih dulu. Dia banyak membantu kami semua juga ketika itu.
“Dia yang banyak beritahu apa perlu dibuat sepanjang di sana. Dia menjadikan urusan setiap kami mudah untuk dikendalikan. Memang sangat ‘best’ dapat jumpa peminat di Indonesia,” katanya.
Disebabkan pengalaman itu juga menyedarkan Hun bahawa hasil tidak pernah membohongi kerja keras. Dia akui tidak sangka ada peminat mengenalinya dari sana.
“Rasa tak sangka pun ada rupanya mereka tengok kami dan ia benar-benar membuka mata saya. Apa yang saya dapat pada kunjungan itu, saya akan cakap pengiktirafanlah.
“Saya tak fikir saya akan dapat mencapai penonton di sana. Rupanya dalam diam, ada yang memberi perhatian dan seronok apabila kerja keras dicurahkan selama ini dihargai,” katanya.
Giat beri kesedaran isu kesihatan mental
Selain rancak dengan kerjaya seni, Hun juga kini terbabit menyertai sebuah kempen berkaitan permasalahan kesihatan mental. Menurutnya, dia berharap dapat beri kesedaran lebih lagi kepada ramai dengan menyertai kempen itu.
“Saya pun ada sertai sebuah kempen yang sangat bagus. Sebuah kempen untuk sesiapa yang mengalami masalah kesihatan mental, boleh muat turun satu aplikasi dan dapatkan sesi percuma.
“Kalau tak pasti minta pertolongan dari mana, menerusi aplikasi itu, boleh dapat bantuan secara tertutup luah perasaan. Kempen itu bermula sekitar April ini juga,” katanya.
Hun sebelum ini pernah berdepan isu kesihatan mental dan mengalaminya sendiri. Walaupun ia hanya minor, tapi pengalaman itu benar-benar memberi tamparan hebat buatnya mengenai kepentingan mendapatkan bantuan.
“Ya saya pernah melalui fasa itu sebelum ini. Alhamdulillah berkat bantuan ramai, saya berjaya atasinya. Ada banyak isu kerana 2021 dan tahun lalu sangat mencabar.
“Ada juga saya cuba 10 sesi, tapi ia sekadar sesi dibuat sendirian dengan individu terbabit. Alhamdulillah semuanya sangat terkawal. Saya punya (masalah) cuma minor saja, tapi itu pun sudah terasa.
“Ia situasi periksa diri yang baik untuk saya. Juga menyedarkan saya bahawa bila berada dalam keadaan itu, kita kena minta tolong. Untuk saya, ambil masa setahun juga pulihkan diri semula,” katanya.
Kongsinya, masalah terbabit timbul disebabkan pelbagai perkara termasuk kerja dan hal peribadi bercampur aduk.
“Bila ia bercampur aduk, jadi sukar untuk kendalikan. Perasaan kosong, ada masa kalau bercakap dengan orang termasuk ahli keluarga pun saya kena memaksa diri.
“Orang mungkin nampak perkara itu remeh, tapi bagi saya tidak. Saya masih duduk dengan keluarga dan setiap kali pulang rumah, anak buah terutama pasti ingat saya ‘happy’, tapi ‘cranky’ pula.
“Jadi, itu buat saya rasa ia tidak bagus, reda saja dengan keadaan, sebaliknya kena usaha. Memang bila dalam keadaan itu kita akan cenderung untuk bersendirian dan tak nak bergaul dengan orang,” katanya.
Dalam tempoh itu, keluarga yang paling banyak membantu, anak-anak buah menceriakan serta kawan-kawan tanya khabar. Hun juga percaya bantuan paling penting adalah berkomunikasi dan interaksi dengan orang. (Sumber Harian Metro Online)