fbpx

Desakan hidup, satu keluarga duduk di garaj

Jamil Bersama isteri dan dua anak tinggal di garaj kereta sejak dua minggu lalu – Gambar Harian Metro Online

Sungai Petani: Sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan terpaksa menjadikan garaj kereta di Kampung Sungai Batu Besi, Merbok, dekat sini, sebagai tempat tinggal sejak dua minggu lalu akibat kesempitan hidup.

Jamil Ahamad, 35, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain berikutan tidak mampu lagi membayar sewa rumah selepas berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan kerana masalah gaji yang tidak dibayar sejak empat bulan lalu.

“Sebelum ini kami menyewa di Seberang Perai Utara namun sebab banyak sangat tunggakan dan tak mampu bayar, kami ambil keputusan untuk berpindah ke Sungai Batu dan menumpang di bawah tempat parkir kereta depan rumah mentua.

“Saya dan isteri (Siti Nur Syahera Nabila Hamzah, 28) sepakat untuk tinggal sementara di tempat letak kereta berkeluasan 5×5 meter.

“Walaupun tidak berdinding dan hanya berlantaikan tanah, tetapi inilah kediaman yang sesuai buat kami pada masa ini,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin,

Menurutnya, dia tidak sampai hati untuk menumpang di rumah mentuanya Shion Junus, 50, yang berdekatan dengan garaj itu kerana kediaman terbabit kecil selain terdapat lima lagi adik iparnya termasuk empat perempuan tinggal di situ.

“Memang kami berhajat untuk tinggal sementara di sini sebelum menyewa di tempat lain dan sekarang pun saya sedang berusaha mencari kerja baharu.

“Tambahan pula, isteri sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak ketiga awal Mei ini menyebabkan kami memilih untuk tinggal berdekatan keluarga biarpun dalam serba kekurangan,” katanya.

Jamil berkata, dia tidak boleh melakukan kerja berat kerana tulang pahanya patah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2009.

“Bagi menampung hidup selepas berhenti kerja, saya mengambil upah melakukan kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan hanya mengharapkan bantuan bulanan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang baharu diterima bulan ini,” katanya.

Keluarga itu turut menerima kunjungan kakitangan JKM Daerah Kuala Muda setelah kisah mereka tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB milik Jamil, 7633233670. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles