LONDON: David de Gea menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Edurne, dan kelab yang menjadikannya penganggur pada hari perkahwinannya antara yang paling awal mengucapkan tahniah.
Peminat menyelar tindakan Manchester United kerana layanan buruk terhadap penjaga gol itu dan mengganggap kelab tidak peka dengan sensitiviti di media sosial.
Kontrak De Gea di Old Trafford tamat pada Jumaat lalu dan kini dia adalah ejen bebas. Namun dia diminta untuk tidak menyertai kelab lain walaupun kontraknya sudah berakhir.
Penjaga gol berusia 32 tahun itu dilaporkan berada dalam radar kelab Arab Saudi, Al-Nassr yang dibintangi bekas rakan sepasukan United, Cristiano Ronaldo.
De Gea bagaimanapun melupakan seketika masalah kerjayanya dengan mengahwini Edurne Garcia, 37, dan memuat naik gambar perkahwinan mereka di Instagram.
United antara yang terawal mengucapkan tahniah, namun niat murni kelab itu terhadap bekas pemainnya mengundang kecaman peminat.
“Anda menjadikannya ejen bebas selepas perkhidmatan cemerlang dan setia, berani anda memberi komen,” kata salah seorang peminat.
“Biar betul? Anda biarkan lelaki ini hilang kerja pada hari perkahwinannya?” kata seorang lagi.
“Sebagai peminat sejak berusia 12 tahun, kelab ini memang tidak sensitif dan melayan legenda dengan buruk. Jangan main-main dengan duit dan masa depannya, kemudian mengucapkan tahniah di hari perkahwinannya, ia tindakan hipokrit,” kata peminat yang lain.
De Gea memecahkan rekod kelab sebagai penjaga gol dengan 545 penampilan, mengatasi legenda Alex Stepney yang memenangi Kejuaraan Eropah 1968.
De Gea turut membarisi skuad kendalian Alex Ferguson yang memenangi kejuaraan terakhir pada tahun 2013.
Dia turut menamatkan musim lalu dengan sarung tangan emas selepas mencatat 17 perlawanan tanpa bolos dalam Liga Perdana Inggeris, kali kedua memenanginya selepas musim 2017-18 dengan 18 perlawanan tanpa bolos. – (Sumber Berita Harian Online)