PARIS: Bekas pengarah Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo menggesa kelab itu untuk menyingkirkan Kylian Mbappe pada musim panas ini.
Mbappe mempunyai baki setahun dalam kontraknya dan telah memaklumkan PSG dia tidak berhasrat untuk menandatangani perjanjian baharu.
Penyerang Perancis berusia 24 tahun itu juga berkata, dia ingin kekal di Parc des Princes sehingga akhir musim 2023/2024.
Bagaimanapun Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi memberi kata dua kepada Mbappe dia mesti menandatangani kontrak baharu atau meninggalkan kelab musim panas ini.
Al-Khelaifi tidak mahu membiarkan pemain terbaik mereka itu pergi secara percuma tahun depan.
PSG dijangka menuntut bayaran perpindahan sekitar 200 juta euro (RM1.02 bilion) untuk membenarkan penjualan Mbappe.
Situasi semakin sukar di Paris selepas Mbappe mencetuskan kekecohan dalam satu temubual kontroversi minggu lalu dengan mengatakan, dia tidak memenangi Liga-Juara jika kekal bersama PSG.
“Demi kebaikan PSG, saya rasa sudah tiba masanya untuk Mbappe meninggalkan kelab walau apa pun berlaku.
“Paris Saint-Germain wujud sebelum ada Kylian Mbappe dan akan terus kekal selepas itu,” kata Leonardo kepada L’Equipe.
Kata Leonardo, walaupun Mbappe mempunyai banyak kelebihan, dia gagal membawa PSG memenangi Liga Juara-Juara dalam tempoh enam tahun di Parc des Princes.
“Dia berada di Paris selama enam tahun dan dalam enam musim itu, lima kelab berbeza sudah memenangi Liga Juara-Juara (Real Madrid pada 2018 dan 2022, Liverpool pada 2019, Bayern Munich pada 2020, Chelsea pada 2021 dan Manchester City pada 2023).
“Tiada seorang pun daripada mereka yang mempunyai pemain seperti Mbappe dalam barisan pemain mereka. Ini bermakna bukan sesuatu yang mustahil untuk memenangi Liga Juara-Juara tanpanya.
“Disebabkan tingkah lakunya sejak dua tahun kebelakangan ini, Mbappe menunjukkan bahawa dia bukan pemain yang benar-benar mampu memimpin pasukan.
“Dia pemain yang hebat, bukan pemimpin. Dia seorang penjaring gol yang hebat, bukan seorang perancang. Sukar untuk membina pasukan di sekelilingnya,” katanya. – (Sumber Utusan Malaysia Online)