Liverpool tewas kali pertama angkara VAR

0
303

LONDON: Liverpool berkata keputusan VAR yang menyebabkan mereka dinafikan satu gol ketika kalah 2-1 di Tottenham “menggugat integriti sukan.”

Badan pengadil PGMOL mengakui “kesilapan ketara manusia” bermakna percubaan Luis Diaz, ketika perlawanan Sabtu lalu terikat 0-0, tidak disahkan oleh reviu VAR selepas didakwa ofsaid.

Ketua PGMOL, Howard Webb turut memohon maaf kepada Liverpool beberapa jam selepas perlawanan itu berakhir.

Pegawai perlawanan yang melakukan kesilapan itu digugurkan daripada tugasan mereka bagi baki kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Kelab Bolasepak Liverpool menyedari pengakuan PGMOL berikutan kegagalan mereka malam tadi. Jelas sekali penggunaan undang-undang permainan yang betul tidak berlaku, mengakibatkan integriti sukan terjejas,” menurut satu kenyataan.

Curtis Jones diberi kad merah oleh pengadil berdasarkan VAR dalam perlawanan menentang Tottenham

Kami memahami sepenuhnya tekanan yang dihadapi oleh pegawai perlawanan tetapi tekanan ini sepatutnya dikurangkan, bukan diburukkan lagi dengan kewujudan dan pelaksanaan VAR.

“Oleh itu adalah tidak memuaskan masa yang mencukupi tidak diberikan untuk membolehkan keputusan yang betul dibuat dan tiada campur tangan berikutnya.”

Liverpool berkata, mereka kini akan memikirkan pilihan mereka “memandangkan keperluan yang jelas untuk peningkatan dan penyelesaian.”

Kemenangan di Stadium Tottenham Hotspur mampu melonjak anak buah Jurgen Klopp ke puncak carta EPL.

Bagaimanapun mereka berdepan tugas getir selepas hanya 26 minit apabila Curtis Jones dilayangkan kad merah selepas pegawai VAR mencelah untuk mengarahkan reviu susulan terjahannya terhadap Yves Bissouma.

Pemain Tottenham meraikan kemenagan bersama peminat

Pelawat patut mendahului apabila jaringan Diaz menerjah penjuru jaring dan ulang tayang menunjukkan dia berada dalam keadaan onsaid disebabkan kehadiran Christian Romero.

Kemarahan Liverpool bertambah apabila Spurs mendahului beberapa saat kemudian menerusi Son Heung Min.

Pasukan yang beraksi 10 pemain itu menyamakan kedudukan 1-1 sebelum rehat menerusi Cody Gakpo.

Namun Liverpool kemudian beraksi sembilan pemain bagi 20 minit terakhir apabila Diego Jota dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua.

The Reds masih mampu bertahan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata hinggalah gol sendiri Joel Matip pada minit ke-96 menghadiahkan kemenangan buat Spurs.

“Saya tidak pernah menyaksikan perlawanan sebegini dengan keadaan paling tidak adil, keputusan gila,” kata Klopp. – (Sumber Berita Harian Online)