KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan pendiriannya untuk terus memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan pentaksiran dalam membangunkan kurikulum baharu persekolahan bermula 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kurikulum itu amat penting, terutama selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan pada 2021 serta mahu memastikan pihak berkepentingan memahami matlamat yang disasarkan KPM.
“Ini adalah kurikulum baharu yang pastinya akan ditunggu ramai pemegang taruh, khususnya apabila kita menghapuskan UPSR dan PT3, dan memberikan tumpuan kepada pentaksiran.
“Jadi ini adalah konteks yang perlu difahami dan disebarluaskan dalam masyarakat, khususnya supaya ibu bapa, guru dan komuniti pendidikan mendapat manfaat Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Pendidikan dan pengurusan tinggi KPM bersama media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), M Thillinadan; Ketua Pegawai Eksekutif NTV7, Seelan Paul; Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Kamaruddin Mape dan Timbalan Editor Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) MPTN, Azhari Muhidin.
Pada 28 Oktober lalu, Fadhlina berkata, UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada desakan pelbagai pihak, termasuk ibu bapa yang mahu satu penanda aras bagi pencapaian anak mereka.
Katanya, tumpuan ketika ini ialah Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum baharu, bagi memastikan pendidikan masa depan yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara bermula tahun hadapan akan membolehkan KPM melakukan libat urus dengan semua pemegang taruh berkaitan pendidikan.
Justeru, beliau menekankan kepentingan untuk KPM dan media terus bekerjasama bagi meuar-uarkan jerayawara berkenaan, yang antara lain bagi mendapatkan pandangan mengenai kurikulum baharu.
“Kami di KPM, setiap hari ada isu dan terima kasih kerana bersama dengan kami setiap hari dalam menaikkan isu berkaitan pendidikan dalam media.
“Pastinya isu ini ada impaknya dan membuatkan kami belajar setiap hari bagaimana untuk mengurus dan menyampaikan isu dengan berkesan, serta berinteraksi dengan media untuk keadaan yang lebih baik,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)