KUALA KANGSAR – Penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan durian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang kadangkala mengambil masa puluhan tahun secara tidak langsung menjadikan baka-baka buah tersebut yang terbaik dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Penyelidikan dan pembangunan beberapa baka durian berkenaan ada kalanya mengambil masa hingga 20 tahun sebelum ‘dilepaskan’ kepada golongan pekebun untuk dijadikan tanaman.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani memberitahu, tempoh masa yang panjang itu bagi memastikan baka durian tersebut benar-benar ‘stabil’ untuk dijadikan tanaman oleh pekebun.
“Setelah kita pastikan baka yang dihasilkan benar-benar stabil, barulah kita ‘lepaskan’ kepada pekebun untuk tanaman.
“Keadaan tersebut menjadi faktor utama durian Malaysia adalah yang terbaik dalam kalangan negara-negara ASEAN.
“Dari penyelidikan dan pembangunan itu juga menjadikan durian yang terdapat di negara ini dalam pelbagai rasa,” katanya kepada pemberita pada program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar di sini.

Sementara itu, beliau memberitahu, durian yang dihasilkan di negara ini juga boleh dijadikan sejuk beku serta disimpan selama enam bulan.
Jelasnya, apabila dijadikan sejuk beku ia tidak akan menghilang rasa atau kualiti durian tersebut.
“Kita ada cara dan teknologi untuk durian-durian ini disejuk beku sehingga enam bulan.
“Durian-durian ini boleh disejuk beku dengan keseluruhan buah tersebut. Mungkin ramai yang terfikir ia hanya boleh disejuk beku hanya isinya sahaja. Tetapi kita boleh sejuk beku keseluruhan buah tersebut,” katanya.
Mengenai ladang MARDI Kuala Kangsar, beliau berkata, terdapat kira-kira 1,000 pokok durian dengan pelbagai jenis di sini.
Menurutnya, ladang durian MARDI itu boleh mengeluarkan hasil dua kali dalam setahun.
“Bagi satu musim, ladang di sini mampu mengeluarkan durian sehinggga 30 tan.
“Setiap kali musim kita buka ladang ini untuk orang ramai datang menikmati durian dengan dikenakan bayaran paling minimum,” katanya,