FINAS sasar filem tempatan masuki Oscar menjelang 2030

0
275

KUALA LUMPUR, 13 Disember –    Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyasarkan naskhah terbitan tempatan akan dapat meraih anugerah Oscar pertama pada tahun 2030.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, usaha menuju Oscar itu bagaimanapun  tidak boleh dijalankan oleh FINAS  atau menggunakan dana kerajaan semata-mata kerana  usaha itu perlu dilakukan oleh persatuan bagi meningkatkan daya kerja dan kreatif anak-anak muda untuk mencapai matlamat ke Oscar.

Zakaria juga meletakkan harapan agar filem Misteri Hutan Tok Kepak mengikut jejak langkah filem Prebet Sapu dicalonkan ke Anugerah Oscar pada tahun hadapan. Beliau memuji usaha FDAM melatih pengarah filem amatur merupakan satu sejarah yang julung kali dilakukan persatuan industri kreatif di negara ini.

“Kemajuan industri filem memang banyak bergantung pada idea dan teknologi baru yang sudah pasti kebanyakan dijana oleh tenaga muda.

“Dalam mana-mana agensi atau organisasi, isu pelapis memang tidak boleh ditinggalkan. akan menjadi tonggak seperti dalam FDAM dan industri perfileman,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

AHMAD IBRAHIM (dari kiri), Zakaria dan Purushothmalingam membuat gimik pelancaran selepas menandatangani majlis MoU menerbitkan filem tempatan membabitkan ahli amatur FDAM di ibu pejabat FINAS di ibu negara baru-baru ini.

Untuk itu katanya, golongan pengarah amatur perlu dilatih sebaik mungkin agar yang baharu lebih baik daripada lama.

“Jika yang baharu sama macam yang lama jadi tidak berlaku transformasi atau perubahan dalam industri kita. Sangat perlu kita merancang masa depan,” katanya.

Terdahulu, Zakaria menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menerbitkan filem Misteri Hutan Tok Kepak membabitkan Persatuan Pengarah-Pengerah Filem Malaysia (FDAM), Dr. Ahmad Ibrahim dan K. Titanium Pictures yang diwakili Datuk Seri Purushothmalingam untuk menerbitkan filem Misteri Hutan Tok Kepak.

Sementara itu, mengulas penerbitan Misteri Hutan Tok Kepak, Zakaria menjelaskan, filem tersebut menyaksikan penglibatan pelakon veteran yang diusahakan 100 peratus anak muda tanpa pengalaman dalam penerbitan filem skala komersial.

Satu babak yang dalam filem misteri Hutan Tok Kepah yang dipertontonkan di ibu pejabat FINAS baru-baru ini.

“Saya anggap ini satu sinergi yang wajib dipuji dan menjadi inspirasi dalam industri perfileman tempatan. Gabungan orang lama dan baru, ini sudah pasti menghasilkan satu karya yang bakal menarik perhatian industri perfileman tanah air,” katanya.

Filem berkonsepkan ‘purba moden’  itu  menampilkan tiga pengarah bertaraf amatur iaitu Khairul Azizi, Rayyan Danish dan Asrul Nizam. Mereka akan dibimbing oleh  Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkeflie M. Osman yang akan bertindak sebagai mentor, jelas kenyataan.

Filem Misteri Hutan Tok Kepak berkenaan menampilkan gandingan pelakon senior dan baharu antaranya Datuk Jefri Omar, Aman Shah, Ebby Saiful, Razali Hussein, Megat Terawis dan Tizie Nik.

Bagi penerbitan filem sulung yang mengangkat pengarah baharu untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka, FINAS turut menyatakan kerjasama dalam membantu filem ini menjadi realiti.

“Ini merupakan satu detik sejarah yang mana hasilnya selepas setahun, insya-Allah kita akan dapat melakukan pembikinan filem dalam kalangan amatur seperti mana kita impikan,” kata Zakaria.

Tambahnya, dalam soal industri kreatif dan perfileman, tumpuan semua pihak adalah membangunkan bakat pelapis daripada generasi muda.

Pada majlis tersebut, Zakaria juga menyatakan hasrat FINAS akan membantu pembikinan filem ini dari aspek Dana Kandungan Digital atau dana pemasaran selepas filem ini siap.

Pengarah Projek, Haji Zaini Hassan pula berkata filem Misteri Hutan Tok Kepak adalah merupakan satu ‘cita-cita besar’ FDAM yang tercetus apabila mula membuka pintu keahlian kepada golongan yang tiada pengalaman atau pengetahuan mendalam tentang dunia pengarahan dan perfileman.

“Saya selaku pengarah projek dengan restu presiden dan Ahli Majlis Kerja FDAM yang lain telah mencabar ahli-ahli amatur supaya menghasilkan sebuah telefilem dengan modal kosong.

“Tanpa disangka cabaran ini disambut oleh sekumpulan ahli amatur. Malahan bukan sekadar telefilem atau supertele tetapi mereka memutuskan untuk menghasilkan sebuah filem. Seorang daripadanya memodalkan penerbitan ini dengan peruntukan sebanyak RM50,000. Semua kru termasuk pengarah tidak dibayar gaji. Peralatan dipinjamkan oleh salah seorang ahli sementara perbelanjaan lain mereka akan berusaha mencari penaja,” katanya.

Penggambaran filem ini dijangka bermula pada 12 Januari 2022 di lokasi sekitar Kedah selama 20 hari.

Previous articleHarimau Malaya tak lekang dek kontroversi
Next articleGuru tadika rugi RM4,200 terpedaya jadi isteri ‘menteri’
Faizal Zakaria pernah berkhidmat dengan akhbar Kosmo! selama 14 tahun sebelum membawa haluan sendiri melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2018. Jawatan terakhir beliau ketika itu ialah Editor Prosesan. Sepanjang berkhidmat dengan akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu, Faizal pernah ditugaskan di Meja Laporan Khas, Meja Ekonomi, Meja Luar Negara, Meja Rencana Ahad dan terakhir, Editor Prosesan. Selain pernah memenangi hadiah tertinggi kewartawanan, Hadiah Kajai pada 2004, Faizal dari semasa ke semasa menyampaikan syarahan di beberapa universiti tempatan dan luar negara, serta menjadi jurulatih korporat dalam bidang penulisan media.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here