17 DIS: Al Rajhi Bank Malaysia menyasarkan untuk memacu inovasi pendigitalan sekali gus menjadi bank inovasi kewangan Islam terkemuka di Malaysia menjelang 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arsalaan Ahmed, berkata dalam usaha transformasi ke arah inovasi pendigitalan, pihaknya melabur dalam bakat dengan memantapkan barisan kepimpinan kanan untuk mengembangkan lagi perniagaan di negara ini.
Katanya, bank itu turut melabur dalam teknologi menerusi jalinan kerjasama strategik dengan peneraju industri untuk membolehkannya menampilkan produk terbaik dalam kelas yang memberikan akses lebih meluas, mudah dan senang kepada pelanggannya.
“Kami akan melancarkan bank digital tahun depan. Kami bercadang memberi tumpuan dalam runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada taklimat media mengenai pelan pendigitalan bank itu secara maya, hari ini.
Arsalaan berkata persaingan antara bank digital baharu dengan bank sedia ada dijangka rancak dan menarik dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Beliau berkata, bank digital baharu yang berupaya menampilkan produk menarik dan memberi keyakinan tinggi kepada pelanggan akan mencetuskan persaingan sengit selain ancaman kepada bank sedia ada.
“Jika gagal berbuat demikian, mereka tidak akan menjadi ancaman kepada peserta bank sedia ada.
“Sebaliknya, bank sedia ada perlu bersedia dengan persaingan dalaman dalam saluran digital.
“Bagi saya, ancaman sebenar kepada bank sedia ada adalah tidak membenarkan persaingan dalaman menerusi saluran digital,” katanya.