fbpx

Perang psikologi Malaysia-Indonesia

MALAYSIA dan Indonesia sering kali diundi bertemu sesama sendiri pada kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Nasional Singapura pada 19 Disember ini.

Ketika ini, Indonesia berada di landasan terbaik untuk menempah slot ke separuh akhir selepas memimpin kedudukan teratas Kumpulan B meskipun berkongsi tujuh mata bersama Vietnam di tangga kedua.

Malaysia pula sekadar mengumpul enam mata di tangga ketiga. 

Ini bermakna, Indonesia hanya perlu mengutip satu mata untuk melayakkan diri ke kelompok empat pasukan terakhir.

LATIHAN menjelang aksi menentang Indonesia.

Thailand dan tuan rumah, Indonesia yang sudahpun melayakkan diri ke separuh akhir akan bertemu sesama sendiri pada perlawanan terakhir Kumpulan A malam esok.

Perlawanan ini penting untuk menentukan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A yang akan menjadi lawan Malaysia atau Indonesia di separuh akhir.

Setakat ini, Malaysia dan Indonesia sudah bertemu lapan kali dalam kempen Piala AFF. Rekod kemenangan kedua-dua pasukan seimbang selepas masing-masing melakar empat kemenangan.

Pertemuan pertama kedua-dua pasukan adalah pada 13 September 1996 di mana Malaysia menewaskan Indonesia 3-1.

Kemenangan terbesar Indonesia ke atas Malaysia dicatat pada Piala AFF 2010. Pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno itu, Indonesia membelasah Malaysia 5-1. Kemenangan terbesar Malaysia ke atas Indonesia pula adalah 3-1.

Bagaimanapun, Malaysia memiliki rekod yang baik ketika ini selepas memenangi kedua-dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022.

Anak-anak buah Tan Cheng Hoe menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September 2019 sebelum mencatat kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November 2019.

Menjelang pertemuan di Stadium Nasional Singapura pada Ahad ini, Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong melancarkan perang psikologi untuk mengganggu mental pemain-pemain Harimau Malaya.

Shin Tae-yong.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu dengan lantang mengakui, skuad Garuda berada pada prestasi terbaik selepas dikerah bekerja keras ketika seri tanpa jaringan dengan Vietnam.

Katanya, kondisi pasukan sangat baik dan semakin kompak. Mereka akan bermain bermati-matian, berdisiplin dan fokus pada aksi menentang Malaysia.

Pemain-pemain Indonesia mempunyai skil individu yang sangat tinggi dan bermain dengan baik sebagai sebuah pasukan.

Mereka boleh bermain secara menyerang seperti mana yang dilakukan ketika membelasah Laos 5-1 dan bertahan semasa seri tanpa jaringan menentang Vietnam.

Malaysia pula lebih tertekan kerana anak-anak buah Cheng Hoe turun dengan misi memburu kemenangan.

Bagaimanapun, Tae-yong sudah pasti akan menampilkan corak permainan yang berbeza terutamanya bagi mengekang kemaraan pemain bintang Harimau Malaya, Safawi Rashid.

Kelibat pemain sayap kelahiran Terengganu berusia 24 itu menjadi ‘mimpi buruk’ kepada skuad bimbingan Tae-yong terutamanya selepas dia meledakkan kedua-dua gol kemenangan Malaysia ketika tewas 0-2 di aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November 2019.

Ketika ini, Safawi berada pada prestasi terbaik selepas meledakkan hatrik ketika Malaysia membelasah Laos 4-0, sekali gus berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol bersama Teerasil Dangda dari Thailand.

PEMAIN-PEMAIN Harimau Malaya dan pegawai merakamkan gambar kenangan.

Malaysia juga mendapat suntikan semangat dengan kehadiran pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools.

Pemain pertahanan kanan yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu juga mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol seperti mana yang dilakukannya ketika membantu Midtjylland mencatat kemenangan pada saingan Liga Super Denmark, Februari lalu.

Kehadiran Cools pasti melegakan Cheng Hoe yang kehilangan khidmat kapten dan pemain pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Razak serta Shahrul Saad. 

Apa yang pasti, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk mencatat kemenangan. Tumpuan para peminat akan terarah kepada Cheng Hoe dan Tae-yong.

Peminat-peminat Harimau Malaya tidak sabar untuk melihat formasi dan taktikal yang bakal ditampilkan kedua-dua jurulatih itu.

Namun, ramai yang membuat ramalah bahawa Tae-yong akan menggunakan taktikal bertahan atau ‘parking bas’ sama seperti yang dilakukan ke atas Vietnam. 

Cheng Hoe pula dijangka kekal dengan formasi ‘keramat’ 4-3-3 atau 4-2-3-1.

BARISAN pemain Indonesia.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles