fbpx

‘Hari Gelap’ peminat sukan tanah air

MALANG datang bertimpa-timpa.

Lepas satu, satu lagi berita sedih menerjah hati para peminat sukan tanah air.

Selepas impian peminat sukan badminton untuk melihat pemain-pemain negara dinobatkan sebagai juara dunia berkecai, pasukan bola sepak kebangsaan pula ‘pulang awal’ daripada kempen Piala AFF Suzuki 2020.

Lebih malang, kedua-dua berita duka itu diterima ketika negara ditimpa musibah banjir yang melibatkan enam negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bencana banjir yang dianggap terburuk di Selangor itu turut mengorbankan banyak nyawa selain memusnahkan harta benda penduduk.

Pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia membuka cerita detik sedih peminat sukan tanah air apabila terkandas di suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol.

Pemain ranking ketujuh dunia berusia 23 tahun itu mengambil keputusan untuk menarik diri pada set penentuan selepas ketinggalan 1-11 kepada Anders Antonsen dari Denmark.

Zii Jia memenangi set pertama 21-12 sebelum tewas 8-21 pada set kedua.

Pada awalnya, Zii Jia dikecam hebat kerana mengambil keputusan menarik diri meskipun dia berada pada prestasi terbaik untuk menamatkan kemarau gelaran juara dunia.

Namun, selepas gambar kecederaan kaki yang dialami Zii Jia itu berlegar di media sosial, para peminat mula meluahkan rasa simpati.

Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan belakang memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menyingkirkan Jason Anthony Ho-Shue dari Kanada 21-10, 17-21, 21-11 pada pusingan pertama.

Dia kemudiannya menewaskan pemain Brazil, Ygor Coelho 21-14, 22-24, 24-14 dan Hans-Kristian Solberg Vittinghus dari Denmark 21-15, 15-21, 21-10 masing-masing pada pusingan kedua serta ketiga.

Kejayaan mara ke suku akhir itu menyamai pencapaian yang dilakukan Zii Jia pada tahun 2019.

Peluang terbaik Malaysia untuk memenangi gelaran juara dunia juga hadir menerusi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Bagaimanapun, pasangan profesional itu gagal mengekalkan momentum mereka apabila tunduk 13-21, 9-21 di tangan beregu nombor empat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut Ee Yi-Yew Sin di tangan beregu Jepun itu dalam tempoh tiga minggu selepas dua kali tewas pada Festival Badminton Indonesia awal bulan ini.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu mencipta sensasi apabila menyingkirkan juara Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Yang 12-21, 21-17, 21-15 pada aksi suku akhir.

Kekalahan Zii Jia dan Ee Yi-Yew Sin itu melebarkan rekod kegagalan Malaysia untuk melahirkan juara dunia dalam sukan badminton.

Sudah 44 tahun pasukan badminton negara masih belum mampu membawa pulang kejuaraan dunia ke Malaysia.

Harap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka mata dan jangan terus mencari alasan di sebalik kegagalan itu.

Lebih menyakitkan hati, anak kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew yang bermain untuk Singapura pula dinobatkan sebagai juara dunia dalam acara perseorangan lelaki.

Kean Yew yang bermain untuk pasukan remaja Pulau Pinang melakar sejarah menjadi rakyat Singapura pertama yang menjadi juara dunia.

Singapura sudah menang pingat emas pada Sukan Olimpik dan kini, menang pula gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia.

Malaysia masih lagi tercari-cari calon pemain untuk memenangi kedua-dua gelaran berprestij di dunia itu.

Selain itu, jiran tetangga, Thailand juga sudah dua kali menjadi juara dunia menerusi Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam acara beregu campuran pada tahun 2021 dan pemain perseorangan wanita, Ratchanok Intanon pada tahun 2013.

Hari gelap peminat sukan tanah air dilengkapkan dengan kekalahan 1-4 Harimau Malaya pada perlawanan terakhir Kumpulan B kempen PIala AFF Suzuki 2020 di Singapura malam tadi.

Kekalahan itu meleburkan impian Malaysia untuk mara ke pusingan separuh akhir, sekali gus mengulangi pencapaian terbaik menjadi juara pada tahun 2010.

Selepas mengharungi empat perlawanan, anak-anak buah Tan Cheng Hoe sekadar menghuni tangga ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam.

Harimau Malaya memulakan kempen dengan baik apabila membelasah Kemboja 3-1 sebelum mengaibkan Loas 4-0.

Namun, Harimau Malaya kemudiannya diaibkan pula dengan kekalahan 0-3 kepada Vietnam dan 1-4 kepada Indonesia.

Selaku juara kumpulan, Indonesia akan bertemu pasukan tuan rumah, Singapura manakala Vietnam menentang juara Kumpulan A, Thailand di separuh akhir.

Harimau Malaya terpaksa pulang awal.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles