fbpx

Denda RM10,000 guna paku, dawai kokot bungkus makanan

4 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan peniaga makanan supaya tidak menggunakan paku, dawai kokot dan seumpamanya untuk membungkus makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bahan tersebut boleh menyebabkan kecederaan yang serius sekiranya ia termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna.

Pada masa sama, jelasnya, peniaga makanan yang menggunakan barangan berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

“KKM mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini, dan pandangan pelbagai pihak yang khuatir akan bahaya trend kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, tambah Dr Noor Hisham, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan, berdasarkan Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya jika bersalah.

“Orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan,” ujarnya.

Jelas beliau, penyedia dan peniaga makanan juga diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.

Katanya, penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku kerana hari ini terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang lebih selamat dan sesuai membungkus makanan dengan baik.

“Di bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut.

“Selain itu, di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna,” katanya.

Tambahnya, hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pada tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 19 (3.5 peratus) dari 546 sampel makanan yang dianalisis didapati telah tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat manakala 45,361 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara pada 2021.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 697 atau 1.5 peratus premis makanan telah ditutup akibat pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan paku, dawai kokot dan seumpamanya serta lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles