SKUAD muda negara memulakan kempen Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Kemboja, pada Selasa.
Perlawanan Kumpulan B di Stadium Madya, Jakarta, itu menyaksikan skuad Harimau Muda B-19 kebangsaan memperoleh gol pendahuluan menerusi jaringan Najmudin Akmal Kamal Akmal pada minit ke-13.
Pasukan kendalian Hassan Sazali Waras kemudian menggandakan jaringan menerusi Haiqal Haqeemi Hairi pada minit ke-30, namun Kemboja berjaya merapatkan jurang menerusi Chanvibol Davit pada minit ke-56.
Kemenangan hari ini menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua kumpulan menerusi perbezaan jaringan, walaupun berkongsi tiga mata dengan pendahulu Laos, manakala Kemboja berada di tempat ketiga.
Skuad negara, yang juga merupakan juara edisi 2018, seterusnya akan berdepan Singapura pada Khamis ini, diikuti aksi menentang Timor Leste (9 Julai) dan Laos (11 Julai).