fbpx

Warga Britain bukti mampu jalan kaki sejauh 6,500km untuk tunai haji

JEDDAH – Adakah anda sanggup berjalan kaki sejauh 6,500 kilometer?

Warga Britain, Adam Mohammed membuktikan mampu berbuat demikian bagi memenuhi impiannya untuk menunaikan ibadah haji ke Makkah.

Pada usia 52 tahun itu, lelaki berdarah Iraq-Kurdish itu berjalan kaki merentasi Belanda, Jerman, Republik Czech, Hungary, Romania, Bulgaria, Turki, Lubnan, Syria, dan Jordan sebelum sampai ke Arab Saudi.

Perjalanan tersebut mengambil masa 11 bulan dan 26 hari.

Secara purata, beliau berjalan kaki sejauh 17.8 km sehari dan sampai ke Masjid Ayesha di Makkah pada 26 Jun lalu.

“Syukur dan saya sangat gembira dapat memenuhi impian dan menamatkan perjalanan ini…saya terharu dengan sambutan yang diberi oleh jemaah haji daripada pelbagai negara. Saya sangat bersemangat untuk menunaikan haji kerana ibadah ini adalah impian terbesar saya.

“Saya berterima kasih kepada Allah kerana menjadikan perjalanan ini dan impian sejak dulu sebagai kenyataan. Ini bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi saya tetapi saya terpaksa mengorbankan segala-galanya demi Allah dan manusia.

“Saya sibuk membaca Al-Quran sejak sekatan dikenakan berikutan pandemik COVID-19. Tiba-tiba, saya terjaga pada suatu hari dan sesuatu dalam diri saya menyuruh saya pergi ke Makkah dengan berjalan kaki dan saya putuskan untuk melakukannya,” katanya.

Ketibaan Adam disambut sekumpulan besar jemaah haji, penduduk tempatan, dan dua anak perempuannya yang datang menaiki kapal terbang dari UK.

Adam mengambil masa dua bulan untuk mempersiapkan perjalanan yang sukar itu dengan bantuan dan sumbangan daripada pelbagai organisasi dan rakan.

Adam memulakan perjalanannya pada 1 Ogos 2021 dari rumahnya di Wolverhampton dan membawa bersama sebuah troli seberat sehingga 250 kilogram untuk barangan peribadinya. – AGENSI

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles