BALING: Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan peringkat awal bernilai RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir di sini manakala keluarga yang terlibat dengan kehilangan nyawa akan diberi sumbangan bernilai RM10,000.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, berkata setakat ini sumbangan telah disalurkan kepada lebih 100 keluarga yang ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara (PPS) di sini.
“Bagi bantuan keperluan lain untuk baiki rumah akan diuruskan oleh pihak kerajaan kemudian. Mereka yang kehilangan rumah, pihak kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya kepada wartawan ketika meninjau PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah memaklumkan semua agensi terbabit seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), KPLB dan agensi yang berperanan membantu peniaga kecil untuk turun ke padang bagi tujuan meninjau keadaan.
“Mereka telah dimaklumkan untuk memberi laporan itu kepada Perdana Menteri supaya saluran bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera kepada peniaga ini,” katanya.
Mohammad Anuar berkata, banjir yang tidak pernah berlaku di kawasan ini sangat menyedihkan kerana ada rumah yang telah dihanyutkan air cuma tinggal tapak dan lebih memilukan apabila ada yang kehilangan nyawa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata daerah itu tidak pernah mengalami banjir seteruk ini sejak 100 tahun yang lepas dan banyak perkara yang harus dirungkaikan tentang punca kejadian itu.
“Kita serahkan perkara ini kepada kerajaan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Pengairan
dan Saliran, NADMA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan ICU.
“Sudah tiba masanya untuk meneliti dan menyiasat di mana punca air turun dengan secara mendadak sehingga ada kehilangan nyawa,” katanya.
Pada 9.30 pagi tadi, mayat dua daripada tiga sekeluarga, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan pasukan penyelamat dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang dihanyutkan arus deras.
Mayat terakhir daripada tiga sekeluarga itu, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemukan pada 11.55 pagi tadi, tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini. – BERNAMA