PASIR PUTEH – Seorang wanita maut manakala empat cedera termasuk seorang bayi parah dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, kenderaan yang terbabit adalah dua lori muatan pasir dan besi, 21 basikal, satu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner, tiga kereta dan dua motosikal.
Difahamkan, dalam kejadian itu sebuah lori yang membawa muatan besi terbalik sebelum menghempap kenderaan lain.
Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke unit forensik Hospital Tengku Anis di sini untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Puteh, ketika dihubungi memaklumkan 13 anggota dan pegawai selain dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, terdapat lima mangsa iaitu seorang wanita dewasa meninggal dunia, seorang kanak-kanak parah dan tiga lagi cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, laporan lanjut akan dimaklumkan kemudian selepas operasi menyelamat selesai dijalankan.