fbpx

Ford bakal buang 8,000 pekerja

NEW YORK – Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), Ford bakal mengurangkan ribuan pekerja dalam usaha mengurangkan kos selain fokus kepada kenderaan elektrik (EV), lapor media AS.

Kumpulan dijangka mengumumkan pemberhentian lebih 4,000 pekerja dalam beberapa minggu lagi, menurut Wall Street Journal, yang memetik individu rapat dengan perkara itu.

Bloomberg berkata, kira-kira 8,000 pekerja mungkin terkesan.

Seorang jurucakap Ford yang dihubungi AFP enggan memberikan kenyataan mengenai ‘spekulasi’ itu.

Namun, kumpulan dijadual mengadakan sidang akhbar hari ini untuk memberikan perkembangan terkini mengenai rancangan transformasi ke arah EV.

“Eksekutif utama Ford akan memberikan butiran mengenai cara syarikat membina sistem industri untuk mencapai kadar pengeluaran global 600,000 EV, meningkat kepada lebih dua juta EV menjelang 2026,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Seperti yang telah kami katakan beberapa kali, untuk melaksanakan transformasi Ford+ dan menerajui era baharu mengujakan kenderaan elektrik dan terhubung, kami sedang membina semula usaha dan memodenkan organisasi merentasi semua unit perniagaan automotif serta seluruh syarikat,” kata jurucakap itu dalam mesejnya.

“Kami menetapkan sasaran jelas bagi struktur kos supaya mantap dan berdaya saing sepenuhnya dengan yang terbaik dalam industri.”

Mac lalu, Ford mengumumkan entiti khusus baharu, Ford Model e.

Ketika itu, ia berkata mahu mengeluarkan dua juta EV setahun menjelang 2026, satu pertiga daripada pengeluaran global dan merancang untuk membelanjakan AS$50 bilion bagi tujuan itu.

Eksekutif syarikat juga berkata mereka mahu mengurangkan perbelanjaan ke atas kenderaan tradisional sebanyak AS$3 bilion setahun. – AFP

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles