fbpx

Dua beradik maut, seorang parah dicampak bapa di MRR2

KUALA LUMPUR – Dua beradik warga Myanmar maut, manakala seorang lagi parah selepas dicampak bapa mereka dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu kesemua mangsa dicampak dari ketinggian kira-kira 20 meter, manakala bapa kepada tiga kanak-kanak terbabit turut maut selepas dipercayai terjun di lokasi sama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, kejadian tersebut disedari orang awam apabila melihat lelaki berusia 38 tahun itu menggendong seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan mencurigakan, sambil memimpin dua lagi kanak-kanak lain di lokasi berkenaan.

“Ketika cuba dihampiri orang awam yang menyaksikan kejadian itu, lelaki terbabit terus mencampak ketiga-tiga kanak-kanak yang dibawa bersamanya itu dari Lebuhraya MRR2.

“Sejurus itu, lelaki terbabit terus terjun dari lebuh raya sama dengan semua empat mangsa ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, lelaki terbabit bersama dua daripada tiga kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi yang dianggarkan berusia lima tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata anak-anak yang maut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara enam hingga tujuh tahun.

“Semua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles